ADVERTISEMENTspot_img

Komuniti Kampung Poring Ranau tekad perangi denggi

Dr. Wong (depan tengah) dan lain-lain dalam acara tersebut


RANAU: Komuniti Kampung Poring Ranau kini melangkah setapak ke hadapan dalam usaha memerangi demam denggi dengan Program Perasmian & Pelancaran Sukarelawan Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Kampung Poring Ranau.


Majlis yang berlangsung meriah di Bilik Audio Visual, Taman Air Panas Poring ini telah disempurnakan oleh Dr. Wong Yoke Kong, Pegawai Kesihatan Daerah Ranau, selaku perasmi, dan turut disaksikan oleh barisan pemimpin komuniti serta penduduk setempat.


Dalam ucapannya, Dr. Wong Yoke Kong merakamkan penghargaan kepada Tuan Jainis Getiban, Pengerusi COMBI Kg. Poring Ranau yang juga memegang jawatan sebagai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Poring Ranau, atas inisiatif cemerlang menubuhkan Jawatankuasa COMBI ini.


Beliau optimis bahawa komitmen yang tinggi ini bakal membawa seribu makna dan impak positif kepada seluruh warga kampung.


Program COMBI, sebuah inisiatif global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), telah membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan kesedaran dan menggerakkan komuniti untuk aktiviti pencegahan serta kawalan penyakit berjangkit.


Di Malaysia, program ini memberi fokus utama kepada kawalan dan pencegahan Demam Denggi, namun fleksibel untuk disesuaikan dengan isu-isu kesihatan setempat.


Di Kampung Poring Ranau, fokus khusus diberikan kepada demam denggi, terutamanya setelah wujudnya laporan kes kematian sebelum ini.
Pasukan Sukarelawan COMBI berperanan sebagai penghubung penting antara pihak kesihatan dan komuniti, serta pemangkin kepada penglibatan masyarakat di peringkat akar umbi.


Unit Promosi, Pejabat Kesihatan Daerah Ranau amat menghargai dedikasi masyarakat, terutamanya para pemimpin dan ahli COMBI, yang giat menjalankan usaha pencegahan dan kawalan denggi di kediaman masing-masing.


Pengiktirafan daripada pihak pengurusan atasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap pencapaian COMBI sebagai pasukan sukarelawan yang berjaya menggerakkan masyarakat membanteras denggi membuktikan keberkesanan program ini.


Unit Promosi, Pejabat Kesihatan Daerah Ranau menyambut baik usaha gigih Tuan Minsun Galung dan Tuan Benjamin Rimpun, Ketua Kg. Poring Ranau, dalam merealisasikan penubuhan AJK sukarelawan COMBI ini.


Dr. Wong Yoke Kong berharap penubuhan sukarelawan COMBI ini akan mencapai matlamatnya dalam melatih, mendidik, dan membekalkan pengetahuan berkaitan kawalan serta pencegahan demam denggi dan isu-isu kesihatan lain.


Usaha bersepadu antara KKM, agensi kerajaan, NGO, dan masyarakat adalah teras utama kejayaan dalam mengawal penularan penyakit bawaan nyamuk ini.


Dr. Wong Yoke Kong menekankan bahawa tanggungjawab ini tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh KKM, agensi kerajaan, dan NGO semata-mata, kerana masyarakat turut mempunyai peranan dan tanggungjawab besar dalam mencegah penularan penyakit ini.


Dr. Wong Yoke Kong turut menzahirkan harapan agar usaha murni penubuhan sukarelawan COMBI ini dapat memberikan impak yang signifikan dalam membina kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran bagi meningkatkan taraf kesihatan umum.


Beliau menyeru semua pihak untuk bersama-sama menjadi agen perubahan dalam memelihara kesihatan diri dan kebersihan alam sekitar kita.
Majlis perasmian diakhiri dengan gimik pelancaran simbolik Sukarelawan COMBI Kg. Poring Ranau 2024 oleh Dr. Wong Yoke Kong.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN