ROSDI (duduk tengah) merakam gambar bersama pemimpin pemuda komponen GRS Ranau selepas mesyuarat pada Jumaat.
RANAU: Komponen Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Ranau, sebulat suara menyatakan komitmen untuk meneruskan kerjasama dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang.
Komitmen itu disuarakan dan disokong bersama komponen Pemuda GRS yang dianggotai Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) dalam satu mesyuarat di sini pada Jumaat.
ROSDI ABDUL GHANI..ketika mempengerusikan mesyuarat pemuda GRS Ranau, di sini
Dalam mesyuarat itu yang dipengerusikan Ketua ARMADA Ranau, Rosdi Abd Ghani, menekankan perlunya mewujudkan hubungan yang erat dikalangan pemimpin GRS selain tidak terikut-ikut dengan percaturan politik di Semenanjung Malaysia.
“Saya amat berharap komponen GRS di Bahagian Ranau ini bersatu-padu dan sentiasa mengingat kembali apa sebenarnya tujuan kita berpolitik. Niat kita dalam berpolitik satu sahaja, iaitu untuk membantu masyarakat”.
“Kita perlu mewujudkan kesefahaman yang baik terutama sekali di dalam rakan komponen. Dalam politik, paling rugi sekiranya ahli politik itu mencari musuh politik,” katanya bagi mengulas Kerjasama dalam parti komponen GRS.
Antara pemimpin pemuda parti komponen GRS yang hadir
Rosdi yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Karanaan, menegaskan bahawa beliau komited bagi membantu menganjurkan aktiviti-aktiviti mahupun melaksanakan program-program kemasyarakatan.
“Kita tahu bahawa kekuatan kita bermula daripada rumah (parti komponen) kita ini. Saya akan berusaha sedaya upaya bagi membantu semua Ketua Pemuda Komponen GRS walau apa juga kos. Ini janji saya”, katanya.
Mesyuarat julung kali diadakan itu dihadiri Naib Ketua Pemuda UMNO Ranau, Mohd Azmi Rais, Ketua Pemuda SAPP Kundasang, Jaimon Lampadak, Ketua Pemuda PAS, Muhd Yusri Gabriel, Ketua PBS N.38 Paginatan, Hadzrye Saifol, Ketua Pemuda STAR N.37 Karanaan, Lyj Sya Welliam dan Wakil Ketua Pemuda MCA, Georgie Tham. Turut hadir, Ketua Penerangan ARMADA, Adib Haji Moin, Setiausaha Pemuda PAS, Eshwan Salehan Awiss.