OPERASI…..tiga anggota bomba bergerak memasuki ruang premis perniagaan Ujana Kewangan untuk memulakan kerja kerja sanitasi.
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Kompleks Ujana Kewangan setinggi 18 tingkat merupakan sebuah pusat sehenti yang menempatkan pejabat perbankan luar pesisir, premis perniagaan dan pejabat pelbagai agensi kerajaan di pulau ini telah menjalani proses sanitasi dan nyah kuman COVID 19 pusingan pertama secara besar-besaran pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif Kompleks Ujana Kewangan Labuan (FPL), Johari Mesar berkata bagi memastikan operasi itu berjalan lancar serta keselamatan dan kesihatan umum masyarakat tempatan termasuk para penghuni dan pengunjung pihaknya telah membuat keputusan untuk menutup sepenuhnya Blok Pejabat Utama, Blok 4 Menara Pejabat dan pusat membeli belah selama 7 hari bermula pada 2 hingga 8 Jun ini.

SANITASI… sebahagian kakitangan Ujana Kewangan lengkap berpakaian PPE untuk membantu anggota Bomba dan Jabayan Kesihatan dalam kerja sanitasi.
“Penutupan sementara ini bertujuan untuk mematahkan rantaian jangkitan baharu bagi melandaikan lekok jangkitan serta membantu mengurangkan tekanan ke atas sistem perkhidmatan kesihatan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media sebelum operasi sanitasi Kompleks Ujana Kewangan bermula pada Khamis.
Beliau menjelaskan, operasi pusingan pertama itu dilaksanakan dengan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan dan juga kakitangan Pejabat Ujana Kewangan.
Sementara itu, Pengarah JBPM Labuan, Ismaidi Ismail yang mengetuai operasi itu berkata seramai 32 anggota dan pegawai JBPM adalah antara 50 anggota yang terlibat dalam operasi sanitasi tersebut.
Beliau yakin operasi sanitasi yang dilakukan secara menyeluruh di bangunan yang menjadi tumpuan orang awam ini akan dapat membasmi atau mengurangkan virus COVID 19 yang berada di kompleks ini.
“ Dengan kawalan dan sanitasi yang baik sudah tentu kita dapat mengurangkan virus COVID 19 yang berada di bangunan ini.
“Operasi sanitasi dan nyah kuman ini akan dilakukan secara berterusan selain menjadi tugas rutin pihak Kompleks Ujana Kewangan” katanya.