ADVERTISEMENTspot_img

KKRU TERIMA KUNJUNGAN PERSEMBAHAN TARIAN SINGA SEMPENA TAHUN BAHARU CINA

GONG XI FA CAI….Joachim, Ridhwan dan Philemon bersama kakitangan Pejabat Menteri serta pegawai kanan JKR mengabadikan gambar kenangan bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRU) menerima kehadiran persembahan kumpulan Tarian Singa daripada Persatuan Tarian Naga dan Singa Lee Kiong Sabah di luar bangunan Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR), Sembulan, hari ini.

Persembahan tersebut telah menceriakan suasana perkarangan jabatan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga kementerian.

Menariknya, ini merupakan kali pertama persembahan Tarian Singa diadakan di luar bangunan KKRU, termasuklah mengunjungi pejabat Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah.

Inisiatif tersebut menjadikan sambutan kali ini lebih bermakna serta mencipta kenangan tersendiri buat warga kementerian, terutamanya dalam kalangan masyarakat Tionghua

Turut hadir menyaksikan persembahan berkenaan ialah Setiausaha Tetap KKRU Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus, serta Pengarah JKR Sabah, Datuk Ir. Philemon Lajawai.

Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, turut menerima kunjungan hormat wakil persatuan berkenaan di pejabat beliau selepas persembahan tersebut.

Tarian Singa merupakan antara tarikan utama sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina dan melambangkan simbol tuah, kemakmuran serta kesejahteraan.

Persembahan itu bukan sahaja mengekalkan warisan budaya masyarakat Tionghoa, malah turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara kaum di negeri ini.

KKRU Sabah merakamkan penghargaan atas inisiatif Persatuan Tarian Naga dan Singa Lee Kiong Sabah dalam meneruskan tradisi kebudayaan yang menjadi sebahagian daripada kepelbagaian budaya di Sabah.

Kementerian komited untuk terus menyokong usaha memupuk perpaduan serta menghormati kepelbagaian budaya yang menjadi asas keharmonian rakyat di negeri ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN