SERAH SUMBANGAN….James menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang warga emas yang uzur di Kg.Lingkabau, Sugut.
SUGUT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disarankan untuk menubuhkan ‘Mobile Team’ untuk membantu penduduk terjejas banjir dikawasan perkampungan pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib menjelaskan perkara itu berkata, sepanjang musibah banjir yang berlaku dikawasan Sugut dan Beluran, terdapat beberapa penduduk khasnya warga emas yang sakit dan uzur serta tidak mampu ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, dengan adanya ‘Mobile Team’ daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), akan lebih memudahkan para pesakit dikawasan terjejas banjir mendapatkan bekalan ubat dan rawatan segera.

Penyerahan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di Kg.Masingapoh, Paitan.
“Terdapat beberapa penduduk yang terlantar sakit dikawasan-kawasan banjir disekitar kawasan Sugut. Untuk ke klinik atau hospital, perkara itu agak rumit ketika ini kerana beberapa kawasan masih sukar dilalui”. Jelasnya ketika menyampaikan bantuan bakul makanan di empat buah perkampungan sekitar Dun Sugut pada Khamis.

Sekitar 700 bakul makanan sumbangan Wakil Rakyat Dun Sugut telah berjaya diagihkan kepada penduduk terjejas melibatkan Kg.Lingkabau, Kg. Sungai-Sungai, Kg.Paitan dan Kg.Masingapoh.
Dalam pada itu, James yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah turut menyampaikan sumbangan sebuah bot dan enjin sangkut kepada pemimpin masyarakat di Zon Lingkabau untuk tujuan kecemasan jika berlaku banjir dikawasan tersebut.

.