28 C
Kota Kinabalu
Rabu, Februari 11, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

KKKSB boleh melangkah lebih jauh lagi: Datuk Dr. Ramle

Dr Ramle (tengah) menerima cenderahati daripada Dr Albert


RANAU: Koperasi Kluster Koko Sabah Berhad (KKKSB) kini berjaya mengumpul jumlah keseluruhan kewangan hampir RM2 juta selepas lima tahun penubuhannya, sekaligus membuktikan kemampuan badan tersebut untuk bergerak lebih jauh lagi.


Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Ramle Haji Kasin berkata, kejayaan tersebut adalah sesuatu yang menggalakkan dan menggalakkan koperasi tersebut terus meningkatkan pencapaiannya.


“Difahamkan jumlah keseluruhan kewangan KKKSB sehingga 28 Ogos 2025 adalah sebanyak RM1,950,865.77. Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada KKKSB atas pencapaian ini.


“Di samping itu, logo KKKSB juga telah didaftarkan dan dimasukkan ke dalam Daftar Cap Dagangan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Ini merupakan satu lagi pencapaian yang signifikan dalam perkembangan organisasi tersebut.


“Selain itu, KKKSB juga telah menerima Anugerah Koperasi Harapan sempena Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2025 (HKN 2025) yang berlangsung di MITC, Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini,” katanya.


Menurut Dr. Ramle, keuntungan bersih KKKSB berdasarkan akaun teraudit dan menyaksikan trend meningkat bermula dengan jumlah RM92,760.60 pada tahun 2020, RM86,106.47 (2021), RM70,277.68 (2022), RM167,005.73 (2023) dan (2023) dan lonjakan RM716,936.32 pada tahun 2024.


“Peningkatan keuntungan ini membuktikan bahawa KKKSB memang boleh pergi lebih jauh,” kata beliau.


Di peringkat LKM, katanya, satu program besar telah berjaya dilaksanakan iaitu Malaysian International Cocoa Fair 2025 (MICF 2025) pada 24-27Mei 2025 di SICC, Kota Kinabalu, Sabah dan KKKSB juga telah berjaya mengambil peluang dalam penganjuran tersebut.


“KKKSB telah terlibat dengan jualan di Malaysian International Cocoa Exhibition (MICE) semasa MICF 2025 dan KKKSB mendapat untung bersih jualan sebanyak RM13,181.80,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kelima KKKSB yang diadakan di Lohan Rest House Ranau pada hari Isnin.


“Bagi saya apa yang KKKSB laksanakan semuanya dengan satu tujuan kepada kejayaan dalam jangka sederhana dan jangka panjang dalam aspek mengupayakan tahap ekonomi Anggota KKKSB.


“KKKSB sedikit lagi genap enam tahun di mana ia didaftarkan pada 20 Disember 2019. Usia yang masih muda tetapi tidak mustahil untuk KKKSB bergerak cepat mencapai kejayaan.


“Penubuhan koperasi ini adalah mewujudkan sistem kelompok tani yang telah lama kita lakukan. Teruskan budaya ini untuk mewujudkan kemajuan kita bersama,” kata beliau.


Aktiviti utama KKKSB adalah Pembelian dan penjualan bili koko kering; Penjualan produk berasaskan koko; dan Perkhidmatan menyediakan tenaga kerja.


Sementara itu, Dr. Ramle berkata, Kompleks Ranau Highland Cocoa Cluster (RHCC) dijangka siap pada tahun ini di Napong, Ranau dan KKKSB boleh menjadikan RHCC sebagai salah satu sumber pendapatan yang tinggi.


Katanya, RHCC ditubuhkan dengan tujuan untuk dijadikan sebagai One Stop Centre, dan banyak peluang perniagaan yang boleh dilaksanakan seperti menyediakan tempat perhentian dengan kemudahan asas seperti tandas, kedai makan dan stesen minyak.


“KKKSB juga boleh menggunakan kemudahan tapak semaian atau nurseri yang telah tersedia di RHCC. KKKSB juga boleh menyediakan homestay dan khidmat sewa kereta di RHCC.


“Ini semua akan menjana pendapatan KKKSB. KKKSB perlu menjalinkan kerjasama yang baik dengan SKM dan ANGKASA kerana mereka mempunyai dana daripada kerajaan untuk membangunkan koperasi dari segi peluang perniagaan, bantuan kewangan, khidmat nasihat, latihan dan pemasaran,” katanya.


Dr. Ramle mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Lembaga Koperasi (ALK) dan pekerja KKKSB di atas amanah dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan.


“Diharapkan agar ALK KKKSB terus bersatu, menjaga kesamaan, harmoni dan muafakat demi memantapkan tujuan penubuhan koperasi ini.
“Terima kasih juga kepada kakitangan di bawah projek Lembaga Koko Malaysia yang berkhidmat secara langsung dengan KKKSB,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN