30 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KKDW wujudkan empat program libatkan bina baharu dan naik taraf jambatan

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya empat program melibatkan pembinaan baharu dan menaik taraf jambatan telah diwujudkan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Timbalan Menteri KKDW, Datuk Hajah Rubiah Wang berkata, program-program tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori penyelesaian jangka pendek melibatkan kerja-kerja menaik taraf jambatan iaitu di bawah Program Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan Program Ameniti Sosial (PAMS).

“Sebuah lagi kategori ialah kategori penyelesaian jangka panjang melibatkan Program Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jambatan Luar Bandar (JMLB).

“Bagi program JPD dan PAMS, kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf jambatan kecil atau titi dan jambatan gantung adalah berskala kecil iaitu di bawah kos sebut harga yang mana kerja-kerja dapat disiapkan dalam tempoh 3 bulan atau pada tahun semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) dalam sesi ucapan kamar khas Persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Menurut Rubiah permohonan projek-projek seumpama itu boleh dikemukakan oleh pemimpin masyarakat, persatuan penduduk dan masyarakat umum kepada Pejabat KKDW Negeri pada bila-bila masa untuk disiasat seterusnya diangkat ke peringkat Ibu Pejabat KKDW untuk kelulusan.

“Manakala program Jalan Luar Bandar (JALB) pula adalah antara program tertua di bawah Kementerian ini yang telah diwujudkan bermula tahun 1977.

“Di bawah program ini, jalan-jalan dan jambatan baharu akan dibina serta dinaik taraf di sepanjang jajaran mengikut piawaian JKR.

“Pada tahun 2024 ini, sebanyak 98 projek jalan luar bandar telah diluluskan untuk Sabah dengan kos keseluruhan berjumlah RM9.2 bilion.

“Lebih 100 buah jambatan yang merupakan sebahagian skop projek jalan luar bandar akan dibina dan dinaik taraf yang memberi manfaat kepada penduduk desa di sekitar lokasi projek-projek tersebut dilaksanakan,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Samarahan itu menambah, sebuah lagi program iaitu Program Jambatan Luar Bandar (JMLB) diwujudkan khas pada tahun 2021.

“Ia bagi menyelesaikan segera isu jambatan sementara/separa kekal yang berkeadaan uzur atau telah runtuh tanpa perlu menunggu kelulusan projek-projek Jalan Luar Bandar yang berskala besar.

“Pada tahun 2024 ini, sebanyak 36 projek JMLB Sabah telah diluluskan dengan kos keseluruhan RM224.9 juta,” jelasnya.

Terdahulu Madius dalam ucapannya meminta KKDW menyatakan apakah tindakan dalam memastikan keselamatan para murid di Sabah khususnya di kawasan pedalaman yang terpaksa berjalan kaki menggunakan laluan berbahaya dan tidak selamat seperti melintasi jambatan gantung yang usang.

Ahli Parlimen Tuaran itu juga mempersoalkan agensi manakah yang bertanggungjawab untuk membuat penyelenggaraan dan menaik taraf jambatan-jambatan gantung.

Rubiah berkata, infrastruktur jambatan atau lintasan (crossing) sungai di kawasan pedalaman Sabah adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri iaitu sama ada di bawah kawalan Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan atau pun Jabatan Kerja Raya Sabah.

“Walau bagaimanapun, Kementerian menyedari bahawa perlunya Kerajaan Persekutuan khususnya KKDW sentiasa peka dan mengambil tindakan drastik supaya isu jambatan uzur, usang dan sempit di kawasan desa dapat segera ditangani.

“Ini bagi memastikan penduduk desa terutamanya pelajar-pelajar sekolah dapat menyeberangi sungai melalui infrastruktur jambatan yang selamat dan selesa seterusnya bagi mengelakkan kejadian buruk melibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa berlaku,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN