Mohd Razlan yang diiringi Mohd Rafi ketika meninjau perkembangan pembinaan Rumah Mariwati di Kampung Lajau.
LABUAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan sebanyak 30 buah rumah baharu dan 50 buah rumah baik pulih di bawah Program Rumah Rakyat Sejahtera (PPRS) untuk Wilayah Persekutuan Labuan sepanjang tahun 2024.
Setiausaha Politik KKDW, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, projek tersebut merupakan usaha Kerajaan untuk membantu keluarga miskin tegar luar bandar.
Projek PPRS adalah usaha kerajaan untuk membantu keluarga miskin luar Bandar untuk memiliki rumah kediaman yang lebih selesa Dan Selamat sekaligus dapat memberikan kesejahteraan hidup yang lebih baik dan sempurna” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau pembinaan sebuah rumah PPRS bina baharu yang dipohon oleh Mariwati Abdul Rajan di Kampung Lajau, di sini pada Ahad.
Razlan turut menjelaskan program PPRS telah diperkenalkan bagi menggantikan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bertujuan untuk menambah baik program tersebut yang dilaksanakan untuk memberi manfaat kepada rakyat.
Selain itu kos pembinaan PPRS juga telah dinaikkan daripada RM79,000 kepada RM85,000.
“Rumah baharu Mariwati adalah rumah PPRS yang pertama di Labuan yang mana reka bentuk lebih menarik dan keluasannya lebih besar serta dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air.
“Keluarga Mariwati hanya perlu cuci kaki untuk masuk ke rumah baharu itu nanti yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan tetapi kita minta kalau boleh kontraktor siapkan lebih awal” katanya.
Sementara itu, Mariwati ketika ditemui menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan khususnya kepada Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi yang prihatin untuk membantu keluarga saya mendapatkan sebuah rumah yang lebih selesa.
“ Kami sekeluarga sudah lama menantikan bantuan daripada mana mana pihak, akhirnya atas bantuan Datuk Mohd Rafi yang datang melawat rumah kami baru baru ini telah mendapat khabar yang memgembirakan keluarga kami apabila Kerajaan telah meluluskan permohonan kami” katanya sambil menadah tangan doa tanda syukur kepada Allah yang memakbulkan permohonan keluarganya.
Sebelum ini Mariwati bersama suami dan empat anaknya termasuk seorang daripada anaknya OKU tinggal disebuah rumah yang usang dan daif.



