Dr. Joachim (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada penaja pertandingan golf amal, MASwings Sdn Bhd sambil disaksikan oleh Asli (tengah).
KOTA KINABALU, 24 Jun 2024: Kelab Golf Pesara Pendidikan (KGPES) telah menganjurkan satu pertandingan golf amal di Kelab Golf Kinabalu, Tanjung Aru, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang merasmikan majlis penutupan pertandingan tersebut mengucapkan syabas dan tahniah kepada KGPES atas kejayaan penganjuran itu.
“Aktiviti seperti golf merupakan salah satu wadah untuk rekreasi ahli kelab. Selain menjadikan badan sihat, ia juga membolehkan bekas pesara ini untuk bertemu satu sama lain,” katanya.
Beliau yang juga Penaung Kelab Golf Pesara Pendidikan Sabah (KGPES) turut mengucapkan syabas dan tahniah jepada Pengerusi penganjur, Asli Sahat yang berjaya menghimpunkan bekas pendidik bersama sebahagian yang lain bukan pesara untuk turut serta dalam pertandingan.
Pertandingan golf amal itu diadakan untuk mengisi tabung KGPES sambil menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang iaitu bagi kategori Ladies Nett dimenangi oleh Habibah Badullah; kategori Junior dimenangi oleh Muhammad Harith Hafiy; VIP Nett dimenangi oleh Johari J. Sabin; VVIP Nett dimenangi oleh Datuk Haji Raisin Saidin. Bagi kategori Ahli KGPES, kategori dimenangi oleh Ag. Damit Suran; Nett dimenangi oleh Johnny Soimpon; Super Senoir, Julius J. Gala dan Ladies Nett dimenangi oleh Dg. Mariah Pg. Bujang. Manakala bagi katego jemputan dimenangi oleh Azimal Liddi; Nette dimenangi oleh Jeffrey Mohd. Yusuf dan Super Senior dimenangi oleh Datuk Mohd Zain Mohd Said.
Selepas itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Agama Rakyat Kampung Bandulan, Manggatal, Persatuan Mantan Pendidik Sabah, Rumah Orang Tua Kinarut Papar dan Persatuan Balu Kota Kinabalu.
Mengucapkan tahniah kepada mereka yang menang, beliau berharap aktiviti seumpama ini akan terus diadakan pada tahun hadapan.
Turut hadir Turut hadir Timbalan Pengerusi KGPES, Dr. Lidi Salun; Naib Presiden 1, Haji Awangku Ali Pg Jumaat dan Naib Presiden II, Datuk Kamarlin Ombi.