Faridzuan (berdiri tengah) bersama anak anak yatim Darul Kifayah
LABUAN: Seramai 17 anak anak yatim dari Pusat Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Labuan terus mendapat sinar keceriaan sepanjang bulan Ramadan.
Terkini Kelab Generasi Labuan (KGL) berkongsi rezeki dengan membawa anak anak ini bershoping untuk membeli pakaian raya menerusi Program Kasih Ramadan KGL di sebuah pasar raya di Ujana Kewangan di sini, pada Jumaat.
Menurut Pengerusi KGL, Faridzuan Abd. Harah@Awang, program yang julung kalinya diadakan ini bertujuan untuk menyemai nilai kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat khususnya anak anak yatim.
Beliau berkata, program ini sedikit sebanyak dapat memberikan kegembiraan dan pengalaman bermakna kepada anak anak yatim untuk merasai kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang.
“Program ini juga merupakan inisiatif untuk menggalakkan amalan bersedekah dan kebajikan untuk mendapatkan pahala dan keberkatan di bulan Ramadan Al Mubarak”, katanya.
Pada program itu, KGL turut menyumbang sekampit beras dan duiit raya.



