Oleh: Salwah Aramat
SEMATAN: Penyertaan 11 tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dari kawasan Lundu dan Sematan memeriahkan Program Sukaneka Sempena Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Lundu yang berlangsung di Waterfront Daerah Kecil Sematan, baru-baru ini.
Program anjuran KEMAS Daerah Lundu itu menghimpunkan kanak-kanak, ibu bapa dan tenaga pengajar dalam pelbagai aktiviti riadah bagi memupuk semangat kesukanan, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta membudayakan gaya hidup sihat sejak peringkat awal kanak-kanak.
Program berkenaan dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak P.193 Santubong, Chahaya Binti Jol, yang turut menyaksikan penyertaan aktif kanak-kanak dan ibu bapa dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.
Antara pengisian utama ialah persembahan zumba yang melibatkan kanak-kanak bersama ibu bapa, sekali gus mewujudkan suasana ceria dan menggalakkan penglibatan keluarga dalam aktiviti kecergasan fizikal.
Selain itu, acara merentas desa sejauh satu kilometer turut diadakan bagi memberikan pendedahan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan aktiviti fizikal, selain menyemai nilai disiplin, ketabahan dan semangat kesukanan.
Penyertaan tadika dari Lundu dan Sematan turut membuka ruang kepada kanak-kanak untuk berinteraksi serta berkenalan dengan rakan sebaya, di samping memperkukuh hubungan antara guru, ibu bapa dan komuniti setempat.
Penganjuran program seumpama itu juga berperanan sebagai platform untuk membina keyakinan diri kanak-kanak serta menerapkan nilai kerjasama, semangat berpasukan dan sikap saling menyokong menerusi aktiviti yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka.
Usaha berkenaan diharap dapat meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat mengenai kepentingan aktiviti fizikal dalam perkembangan kanak-kanak, sekali gus menjadikan amalan hidup sihat sebagai sebahagian daripada rutin harian keluarga.



