ADVERTISEMENTspot_img

JOACHIM: KELESTARIAN BAHASA DUSUN PERLU DIPELIHARA DEMI GENERASI AKAN DATANG

Dr. Joachim menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima, Adrian Soidi.

RANAU: Usaha memelihara kelestarian bahasa dan budaya etnik Dusun perlu diperkasakan melalui penglibatan generasi muda, institusi pendidikan serta penggunaan teknologi digital bagi memastikan warisan masyarakat itu terus kekal relevan dan tidak hilang ditelan zaman.

Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, bahasa Dusun bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya merupakan lambang identiti, sejarah, adat resam dan warisan ilmu yang diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Menurut beliau, kelestarian bahasa Dusun perlu diberikan perhatian serius kerana kehilangan sesuatu bahasa bukan sahaja bermakna kehilangan cara berkomunikasi, tetapi turut mengancam khazanah pengetahuan, cerita rakyat, nilai kehidupan serta kebijaksanaan tradisional yang diwarisi daripada nenek moyang.

“Apabila sesuatu bahasa semakin jarang digunakan, kita sebenarnya berisiko kehilangan sebahagian daripada identiti dan warisan masyarakat sendiri.

“Persoalannya, dalam tempoh 50 tahun akan datang, adakah anak cucu kita masih mampu bertutur dalam bahasa ibunda dan memahami sejarah, adat resam serta budaya yang menjadi asas jati diri mereka?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Penutupan Festival Bahasa dan Budaya Dusun Ranau, Sabah serta Pelancaran Ranau Ethnic Learning Centre (RELC) dan Persatuan Komuniti Wikimedia Ranau, di sini, hari ini.

Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, tanggungjawab memastikan bahasa Dusun terus hidup tidak seharusnya diletakkan kepada golongan tertentu sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen seluruh masyarakat, khususnya ibu bapa dan generasi muda.

Katanya, penggunaan bahasa ibunda perlu terus dibudayakan dalam kehidupan seharian agar generasi baharu bukan sekadar mengenali bahasa Dusun sebagai warisan, tetapi mampu bertutur dan menggunakannya dengan yakin.

Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya tidak menganggap penguasaan bahasa ibunda sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman walaupun mereka semakin terdedah kepada penggunaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa lain.

Menurutnya, kemajuan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan teknologi seharusnya menjadi peluang untuk memperkukuh bahasa serta budaya sendiri, bukannya menyebabkan masyarakat semakin jauh daripada akar warisan mereka.

Dalam hubungan itu, Joachim menyifatkan penubuhan Ranau Ethnic Learning Centre sebagai satu langkah penting dalam usaha memelihara dan mendokumentasikan bahasa serta kebudayaan etnik Dusun secara lebih tersusun.

Beliau berharap pusat berkenaan bukan sekadar menjadi tempat penyimpanan artifak dan bahan pameran, tetapi turut berfungsi sebagai pusat pembelajaran yang menghubungkan pengetahuan generasi terdahulu dengan kreativiti serta kemahiran teknologi generasi muda.

Sementara itu, pelancaran Persatuan Komuniti Wikimedia Ranau pula dilihat mampu memperluaskan usaha pendokumentasian sejarah, bahasa, cerita rakyat, adat resam dan pelbagai pengetahuan tradisional melalui platform digital yang boleh diakses oleh masyarakat seluruh dunia.

Menurut Joachim, penggunaan teknologi moden termasuk pembangunan kamus digital, rakaman pertuturan bahasa Dusun, penerbitan podcast serta penghasilan bahan pembelajaran dalam talian mampu membantu memastikan bahasa tersebut terus dipelajari dan digunakan.

Beliau turut melihat potensi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab bagi menyokong usaha pembelajaran dan pemeliharaan bahasa ibunda.

Pada masa sama, beliau menggalakkan sekolah, kolej dan universiti supaya bekerjasama dengan organisasi kebudayaan serta komuniti tempatan dalam mengumpulkan bahan sejarah dan bahasa untuk dimanfaatkan sebagai sumber pendidikan serta penyelidikan.

Joachim menegaskan bahawa kepelbagaian bahasa dan budaya masyarakat Sabah merupakan kekuatan yang perlu dipertahankan kerana setiap bahasa membawa identiti serta khazanah ilmu tersendiri.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha memartabatkan bahasa Dusun tidak terhenti selepas penganjuran festival, sebaliknya diteruskan melalui pendidikan, pendokumentasian, penyelidikan serta penggunaan bahasa itu secara aktif dalam kehidupan masyarakat.

Beliau turut menyuarakan harapan agar Ranau terus berkembang sebagai sebuah daerah yang maju dalam pembangunan infrastruktur, ekonomi dan teknologi tanpa mengorbankan identiti serta warisan budaya masyarakatnya.

Terdahulu, Joachim merakamkan penghargaan kepada Persatuan Kebudayaan Dusun Bundu Sabah (PKDBS), Ranau Ethnic Learning Centre, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Pejabat Daerah Ranau, Majlis Daerah Ranau serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan festival berkenaan.

Beliau berharap kedua-dua inisiatif yang dilancarkan itu menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk memastikan bahasa Dusun kekal sebagai bahasa yang hidup, terus dituturkan, dipelajari dan diwariskan kepada generasi akan datang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN