Datuk Jonathan (dua kiri) bersama yang lain ketika meninjau jambatan yang uzur itu, akan dinaiktaraf.
RANAU: Penduduk Kg.Bahab terletak kira-kira 7 kilometer dari pekan di sini, menarik nafas lega kerana mendapat peruntukan RM20 ribu sumbangan Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau, Yang Berhormat, Datuk Jonathan Yasin.
Peruntukan itu adalah untuk menaik taraf sebuah jambatan kayu berukuran 40 kaki panjang yang sudah reput merentangi sungai Mansahaban laluan utama penduduk ke kawasan tanah pertanian (sawah padi) mereka.
Menerusi peruntukan tersebut jambatan kayu itu akan dinaiktaraf kepada jambatan ‘Konkrit’ agar lebih tahan lama berbanding jambatan kayu.
Datuk Jonathan telah meluluskan peruntukan itu, semasa lawatannya ke kampung berkenaan baru-baru ini yang diiringi beberapa orang Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau dan wakil penduduk Kg.Bahab.
Jonathan mengharapkan penduduk supaya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan jambatan itu untuk memudahkan mereka meneruskan kerja-kerja pertanian terutama mengusaha tanah sawah untuk tanaman padi.
Pengerusi JPKK Kg.Bahab, Mohd.Alfian Bin Sahadi pula mewakili penduduk merakam penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Jonathan kerana meluluskan peruntukan menaiktaraf jambatan kayu yang sudah uzur itu untuk kemudahan penduduk ke kawasan tanah sawah padi mereka.
“Jambatan kayu berukuran 40 kaki panjang yang sudah mula reput ini telah dibina sejak puluhan tahun dan belum mendapat peruntukan pembaikan meskipun kami sudah ajukan kepada yang berkenaan sebelum ini”, jelasnya dan bersyukur serta merakam tahniah kepada Jonathan kerana dianugerahkan gelaran Datuk baru-baru ini.
“Kita mengharapkan agar Datuk Jonathan akan terus menjadi pemimpin terbaik dan dapat meneruskan hasratnya untuk menabur bakti kepada suruh lapisan masyarakat akar umbi kawasan Parlimen (P.179) Ranau”,tambah Mohd.Alfian.