ADVERTISEMENTspot_img

KETUA KAMPUNG KABIMBAGAN BEBAS TUDUHAN PENCEROBOHAN TANAH

Alhamdulillah, syukur.Terima kasih kepada peguam bela Puan Rowiena Rasid atas komitmen mempertahankan kebenaran, serta seluruh penduduk kampung yang tidak henti memberi sokongan dan doa.Kemenangan ini milik kita bersama.

TAWAU : Seorang veteran komando yang juga Ketua Kampung Kabimbangan, Mohd Arbi Sabdari, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan pencerobohan tanah oleh Mahkamah Majistret Tawau pada 20 Februari 2026.

Beliau sebelum ini didakwa menceroboh kawasan Pulau Nusalalung dan Pulau Sisipan di Gugusan Pulau-pulau Sisipan. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, sekali gus melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan tersebut.

Kes berkenaan mendapat perhatian masyarakat setempat memandangkan Mohd Arbi merupakan pemimpin kampung serta bekas anggota keselamatan yang berkhidmat untuk negara. Sepanjang prosiding, pihak pembelaan berhujah bahawa tertuduh tidak mempunyai niat jenayah dan kehadirannya di kawasan berkenaan mempunyai asas yang munasabah.

Ketika ditemui selepas keputusan dibacakan, Mohd Arbi melahirkan rasa syukur dan menyifatkan keputusan itu sebagai satu keadilan buat dirinya.

“Saya amat bersyukur atas keputusan mahkamah hari ini. Terima kasih kepada keluarga, penduduk kampung serta semua yang memberi sokongan sepanjang perbicaraan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada peguam bela, Rowiena Rasid, atas komitmen dan usaha gigih dalam mengendalikan kes tersebut sehingga memperoleh keputusan yang memihak kepadanya.

Dengan keputusan itu, kes yang difailkan berhubung dakwaan pencerobohan tanah di kawasan pulau berkenaan secara rasmi berakhir.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN