28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KETUA BAHAGIAN RASMI CAWANGAN STAR KE 77 DI DUN N38 PAGINATAN

Abidin (4 dari kiri) bersama sebahagian penduduk yang hadir dalam sesi foto

RANAU: Ketua Bahagian, YB Datuk Abidin Madingkir merasmikan Cawangan Parti STAR ke 77 di DUN N38 Paginatan. Perasmian yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Paginatan baru-baru ini menyaksikan penyerahan borang pembentukan cawangan oleh 6 cawangan baru iaitu Cawangan STAR Kampung Paginatan, Kampung Matupang, Kampung Soborong, Kampung Torikon dan Kampung Bunakon.

Datuk Abidin dalam perasmiannya merakamkan ucapan penghargaan kepada semua Ahli Jawatan Kuasa Pelaksana program dan Pengerusi Cawangan STAR setiap kampung termasuk Ketua Wiramuda dan Ketua Wiranita yang telah dilantik.

“Tahniah untuk semua yang telah berkerja keras. Daripada 86 cawangan yang ada di DUN Paginatan, sehingga pada hari ini secara keseluruhannya kita telah berjaya menubuhkan sebanyak 77 cawangan parti STAR. Kita percaya, baki di 9 cawangan yang lain sedang dalam proses pembentukan dan akan menyusul untuk dirasmikan,” katanya.

“Kita hampir mencapai objektif program. Apa yang penting sekarang adalah menarik lebih ramai keahlian daripada pengundi-pengundi muda berumur 18 tahun. Mengikut data daftar pengundi, jumlah pengundi di DUN N38 Paginatan ialah 15 600. Pada bulan Disember 2021 angka ini telah bertambah lebih 24 ribu hasil daripada pendaftaran secara automatik para belia muda berumur 18 tahun. Ini bermakna pengundi di DUN N38 Paginatan telah bertambah lebih 9 ribu,” katanya.

Abidin menerima borang pembentukan cawangan dari salah seorang ketua cawangan

Datuk Abidin menambah, dalam tahun 2021 pucuk pimpinan parti telah berjaya mengumpul ahli lebih 300000 orang dan pembukaan cawangan-cawangan STAR di pelusuk daerah di Sabah secara rasmi telah dimulakan.

Keahlian memberangsangkan dalam waktu yang singkat menunjukkan orang ramai melihat parti ini satu-satunya parti tempatan Sabah yang sentiasa berpegang teguh dan konsisten terhadap prinsip dan amalan yang terkandung dalam perjanjian Akta Malaysia 1963 untuk ditambahbaik antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan seperti tuntutan 40% hak hasil Sabah.

Justeru itu para generasi muda perlu diberikan penjelasan tentang dasar perjuangan parti STAR supaya mereka memahaminya dan dapat bersama-sama memperjuangkan legasi parti ini.

“Kefahaman tentang prinsip perjuangan dasar parti ini tentunya dapat menarik perhatian orang-orang baru dalam senarai daftar pengundi. Peranan dan tanggungjawab mendampingi mereka terletak di bahu kita semua terutama sekali para ketua cawangan dan ketua-ketua wiramuda  serta wiranita yang sudah dilantik menerajui kepimpinan cawangan parti di setiap kampung,” katanya.

Datuk Abidin turut menyokong ucapan Penyelaras Parti STAR Kawasan Paginatan, KAN Jaimin Jefrydin, bahawa cawangan-cawangan yang dibentuk di setiap kampung merupakan nadi STAR dalam memperkuatkan parti.

“Ketua-ketua cawangan setiap kampung lebih mengetahui status sosio ekonomi dan politik penduduk kampung. Walaupun tiada termaktub dalam perlembagaan parti tentang keperluan penubuhan cawangan di setiap kampung namun kita memikirkan ianya perlu untuk memudahkan urusan parti di peringkat akar umbi. Kita perlu melantik ketua-ketua cawangan termasuk wiranita dan wiramuda untuk melancarkan urusan-urusan pentadbiran parti di peringkat bawahan. Cawangan Parti STAR di peringkat kampung merupakan penggerak kita dalam memperkuatkan parti,” katanya.

“Untuk melebarkan sayap keahlian baru, selepas selesai di peringkat DUN Paginatan, kita alu-alukan program ini dapat diteruskan di kawasan lain. Parti STAR mempunyai ketua bahagian masing-masing di DUN Kundasang dan DUN Karanaan yang akan menyelaras program ini,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha STAR, Juis Konsuling, KAN Dualis Porodtong, KAN Sawalin Zakaria, Pemaju Mukim Paginatan / Paus, Yasiri Bijin dan Pemaju Mukim Nalapak, Hilary Eshell.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN