KOTA KINABALU: Peningkatan dan keterlibatan kaum wanita dalam sektor tenaga buruh amat diperlukan untuk bergerak maju ke hadapan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR), Datuk James Ratib.
“Tenaga kerja wanita adalah aset negara yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Pada masa sama, wanita bekerja dapat menambah pendapatan isi rumah dan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup keluarga.
“Menurut Laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia Jun 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar penyertaan tenaga buruh wanita negara ketika ini berada pada kadar 56.3%, jauh berbeza dengan kadar penyertaan tenaga buruh lelaki iaitu 82.9%,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, selaku kementerian yang bertanggungjawab dalam memastikan wanita terus diperkasa dari setiap sudut, kementerian ini melalui JHEWA dan MPWS akan sentiasa merancang dan melaksanakan program-program pembangunan Wanita bagi memastikan wanita di Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan kemajuan.
“Setiap yang diusahakan bagi pembangunan Wanita ini akan lebih cepat mencapai matlamatnya melalui kerjasama yang erat dalam kalangan rakan strategik agensi Kerajaan mahupun Persekutuan, NGOs dan tidak dilupakan pihak Media yang sentiasa berusaha menyalurkan info-info program serta perkhidmatan agensi kerajaan kepada rakyat Sabah melalui platform mereka.
“Terima kasih saya ucapkan dan saya mengharapkan kerjasama serta ukhwah ini akan terus terpelihara dan akan lebih erat melalui kolaborasi yang dijalinkan melalui program-program yang telah dilaksanakan dan yang dirancang kehadapan,” katanya.
James yang juga Adun Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 1445h Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah dan Majlis Penasihat Wanita Sabah 2024 yang diadakan di Grand Ballroom, Shangri-La Tg Aru baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri KPMKR Datuk Flovia Ng yang turut mewakilinya merasmikan acara itu.
Dalam pada itu, katanya, kementerian melalui JHEWA mahupun MPWS sangat menggalakkan program-program kolaborasi bersama dengan agensi-agensi luar serta NGOs kerana dapat memperkasakan lagi komuniti sama ada di bandar mahupun luar bandar.
“Pada masa sama, boleh membantu bagi menyumbangkan idea dan pendapat dalam proses menyelesaikan isu serta merancang pelan Tindakan yang wajar diberikan fokus demi memastikan segala aspek yang bersangkut paut dengan pemerkasaan Wanita di Sabah diambilkira.
“Oleh itu, saya menyeru agar kita semua bersama-sama berjuang untuk memperkasakan wanita. Kerana apabila wanita bahagia, keluarga akan turut gembira, masyarakat terbina dengan jayanya dan negara lebih sejahtera,” katanya.
Sementara itu, James mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh ahli jawatankuasa yang bekerjasama dalam merealisasikan usaha dan inisiatif sehingga terlaksananya Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 1445H itu.
“Sesungguhnya majlis seumpama ini amat bermakna kerana dapat mengumpulkan semua pihak yang berganding bahu dalam memberikan perkhidmatan dan sokongan terbaik kepada kumpulan sasar khususnya di negeri Sabah.
“Majlis Ramah Mesra Aidilfitri JHEWA dan MPWS ini umumnya dilaksanakan bagi mengeratkan silaturrahim melibatkan golongan pemimpin-pemimpin Wanita di Negeri Sabah, rakan-rakan strategik Kementerian dan Jabatan serta para pihak media.
“Pada masa sama, kita meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri agar jalinan ini dikukuhkan dalam satu majlis untuk memastikan perpaduan saling terjaga dan melupakan semua perselisihan dan persengketaan sebelum ini,” katanya.
Justeru melalui inisiatif ini, James berkata, secara tidak langsung jalinan kerjasama antara pelbagai pihak dapat diselaraskan untuk mengadakan program-program bersama pada masa akan datang seterusnya menjurus kepada peningkatan pembangunan modal insan wanita Sabah.
Turut hadir, Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Nor Asiah Binti Mohd Yusof, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri (KPPAN) Sabah Datuk Zainudin Bin Aman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pembangunan) Datuk Diyana Abdullah, Setiausaha Tetap KPMKR Maria Chong, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah Hajah Haslina Ismail, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah Datuk Dr. Hajjah Tarsiah TZ Haji Taman dan lain-lain.