32 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 28, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KESUMBA anjur Webinar Edisi Khas Hari Malaysia: Peranan Wanita di Era Pandemik Covid-19

Antara peserta yang hadir dalam webinar

KOTA KINABALU, 17 September 2021: Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) mengadakan webinar bertajuk “Peranan Wanita di Era Pandemik Covid-19” sempena Hari Malaysia, kelmarin.

Yang di-Pertua KESUMBA, Datin Dr. Amalina Abdullah berkata, program selama dua jam itu antara lain bertujuan untuk memperkasakan peranan wanita dalam cabaran pandemik Covid-19 melalui penghayatan erti kemerdekaan yang disambut rakyat Malaysia pada 16 September 2021.

“Perkongsian ilmu disampaikan perunding Pakar Obstetrik & Ginekologi merangkap Pengarah Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Profesor Dr. Helen Benedict Lasimbang.

“Ia disertai seramai 100 peserta dari dalam dan luar UMS,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara dalam webinar itu, Helen membicarakan pelbagai isu wanita, termasuk penjagaan kesihatan mental dan psikososial.

Beliau mengetengahkan panduan-panduan dalam mengenal pasti emosi diri, membina kecekalan mental dan panduan mengawal stress.

“Kita melihat sebilangan besar petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan di UMS terdiri daripada golongan wanita yang bertungkus lumus membantu memerangi Covid-19.

“Peranan mereka tidak ternilai dalam memelihara kesejahteraan psikososial, mental dan fizikal rakyat dan pada masa yang sama turut mengalami stress dan kebimbangan apabila bekerja tanpa henti, risiko dijangkiti keletihan fizikal dan pengasingan keluarga,” katanya.

Helen turut menyeru semua wanita agar dapat momohon bantuan sokongan dari keluarga, dan rakan sekiranya menghadapi sebarang masalah apabila berdepan cabaran pandemik.

“Pihak kerajaan serta pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut berperanan membantu golongan wanita apabila terjejas akibat Covid -19,” katanya.

Webinar edisi khas anjuran Biro Pendidikan dan Pelajaran KESUMBA itu disiarkan secara langsung dalam talian melalui aplikasi Webex dan facebook KESUMBA UMS.

Turut ditayangkan video pemenang tempat pertama pertandingan mencipta video bertemakan Erti Kemerdekaan 2021.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN