SIMBOLIK….. Nancy (empat dari kiri) bersama Noraini (lima dari kiri), Suhaili (tiga dari kiri) dan Rithuan (kiri sekali) melepaskan burung Marpati tanda simbolik perasmian Kembara Kasih KPWKM Gempur HPVDNA sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2024 di Desa Tunas Hijau di sini, pada Sabtu
LABUAN: Peningkatan golongan wanita yang menjalani ujian virus pailoma manusia (HPV) di seluruh negara menunjukkan kesedaran yang tinggi golongan itu terhadap usaha mengesan dan mencegah kanser serviks.
Demikian diberitahu oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri ketika berucap pada Kembara Kasih KPWKM Gempur Saringan HPVDNA sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2024, peringkat Labuan di Desa Tunas Hijau, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 112,524 orang wanita direkodkan telah menjalani ujian berkenaan untuk tempoh lima tahun (2019-2023) 23,744 daripadanya di Sarawak, diikuti Sabah dan Labuan (13,392) dan Kuala Lumpur (10,932).
Jelas Nancy, data tersebut menunjukkan peningkatan ketara terhadap golongan wanita yang menjalni ujian sekaligus membuktikan kejayaan program saringan kanser serviks di seluruh negara.
Menurut Nancy Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah memperkenalkan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Waninta (WCare) yang bermatlamat bagi mempromosikan program saringan awal kanser yang merangkumi Program Saringan Kanser Serviks dan Program Ujian Mamogram yang diberikan secara percuma.
“LPPKN telah mengendalikan 50 klinik Nur Sejahtera di seluruh negara dan tiga daripadanya berada di Sabah melibatkan Klinik Nur Sejahtera Kota Kinabalu dan Sandakan, manakala Klinik Nur Sejahtera Tawau dijangka operasi pada awal Febuari ini,” katanya.
Pada majlis itu seramai 500 golongan wanita memperolehi manfaat untuk menjalani ujian saringan kanser Serviks.
Turut diadakan sempena penganjuran program itu ialah Culture Fun Walk –Unity In Diversity Against Cervival Cancer, Lakas Tah Kitani Bercerita dan Kuiz Kahoot untuk orang awam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusof, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.