SIMBOLIK PELANCARAN… Jenddy (ketiga dari kiri) ketika melakukan simbolik pelancaran bersama yang lain.
KOTA KINABALU: Tahap kesedaran mengenai penyakit SLE atau LUPUS dalam kalangan masyarakat khususnya negeri ini, dilihat masih di tahap yang rendah dan perlu ditingkatkan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, ianya penting bagi membolehkan pengesanan awal dilakukan, seterusnya mengelak penyakit ini merebak ke tahap kritikal.
“Saya difahamkan bahawa ‘Systemic Lupus Erythematosus’ atau lebih dikenali sebagai SLE merupakan penyakit kronik yang amat kompleks.
“Namun demikian, penyakit ini sering disalahtafsir sehinggakan ia tidak dikesan pada waktu yang tepat.
“Saya juga difahamkan penyakit SLE atau LUPUS adalah penyakit kronik auto-imun yang tidak berjangkit tetapi berpotensi mengancam nyawa penghidapnya,” kata beliau.
Menurut James, sumber kesihatan yang diperolehi menunjukkan, bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia, dianggarkan terdapat 43 kes SLE namun masih ramai yang tidak menyedari tentang penyakit ini.
Ini, katanya, sekali-gus menjadikannya sebagai salah satu penyakit yang kurang di-diagnosis dan pesakit serta penjaga mereka selalunya terpaksa berdepan dengan penyakit ini secara bersendirian.
Beliau yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa Perasmian & Pelancaran
Acara SLE ‘Walk A Payung ‘ 2023 yang diadakan di SICC, Kota Kinabalu pada hari Sabtu. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Jenddy Sanggau.
“Program yang diadakan pada hari ini tepat pada masanya ke arah memperkasakan masyarakat, dalam meningkatkan pengatahuan dan kesedaran mengenai penyakit, khususnya penyakit SLE.
“Selain dari acara Walk A Payung, saya juga dimaklumkan bahawa penganjur telah menyediakan pelbagai aktiviti pada hari ini termasuklah pemeriksaan kesihatan dan pameran, serta pelbagai aktiviti bagi kanak-kanak,” katanya.
James merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak penganjur, iaitu Persatuan SLE Malaysia Sabah Chapter, kerana berjaya menganjurkan program SLE ‘Walk A Payung’ 2023, bersempena dengan Hari SLE Sedunia yang disambut pada 10 Mei setiap tahun.
“Sekali lagi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada hasil Persatuan SLE Sabah Chapter diterajui oleh Assoc Prof Dr. Malehah Mohd Noh, Hospital Queen Elizabeth dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di atas kejayaan penganjuran program yang sangat bermanfaat ini.
“Di peringkat Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, selaku Menteri dan Exco Kesihatan Negeri Sabah, saya amat bangga dan menghargai, malah menyokong penuh usaha-usaha murni seumpama ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang hadir. Saya berharap semua peserta akan mengambil kesempatan pada hari ini untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan pemahaman mengenai SLE,” kata beliau.
TAMAT