Moddy Patrick menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada warga emas berusia 102 tahun, Mundihim Binti Segai, di Kampung Agudon, Keningau bagi membantu memudahkan pergerakan harian beliau.
KENINGAU, 9 Mac — Seorang warga emas berusia 102 tahun di Kampung Agudon menerima sumbangan kerusi roda daripada Pengerusi MP Project, Moddy Patrick, bagi memudahkan pergerakan harian beliau.
Sumbangan itu disampaikan kepada Mundihim Binti Segai yang kini memerlukan bantuan sokongan bagi menjalani rutin harian berikutan faktor usia.
Moddy yang juga Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Liawan berkata bantuan tersebut merupakan usaha kecil bagi membantu meringankan beban warga emas serta keluarga mereka.
Menurutnya, keprihatinan terhadap golongan warga emas dan masyarakat yang memerlukan perlu sentiasa diberi perhatian, khususnya di kawasan pedalaman yang kadangkala berdepan kekangan kemudahan.
“Walaupun sumbangan ini kecil, diharapkan ia dapat memberi sedikit keselesaan kepada aunty Mundihim serta memudahkan pergerakan beliau dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan itu.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut meluangkan masa menziarahi warga emas berkenaan dan beramah mesra bersama keluarga.
Beliau turut berharap semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat terus dipupuk bagi memastikan kebajikan warga emas sentiasa terpelihara.



