KENANGAN….Sebahagian penduduk dan para jemputan merakam gambar bersama Jonathan sempena majlis tersebut.
RANAU: Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin menegaskan, Kerajaan tiada ‘Pilih Kasih’ dalam melaksanakan projek pembangunan infra untuk rakyat sama ada di kawasan penyokong kerajaan mahupun kawasan pembangkang.
Menurutnya, semua akan diberi perhatian untuk dibantu mengikut keutamaan dan keperluan mendesak.
“Justeru rakyat harus faham dan perlu bersabar menanti pelaksanaan projek yang diperlukan di kawasan masing-masing”, jelas Datuk Jonathan ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kg.Longut Baru, terletak kira-kira 2 kilometer dari pekan Ranau baru-baru ini.
Menurut Datuk Jonathan, pihak pejabat Parlimen Ranau akan menyalurkan peruntukan untuk projek pembangunan di semua kawasan (kampung) di P.179 Ranau menggunakan dana peruntukan parlimen yang terhad dengan mengikut keutamaan serta keperluan mendesak.
“Kita serius untuk membantu semua orang dengan menyalurkan peruntukan projek yang dilaksanakan namun terpaksa dijalankan secara berperingkat dan mengikut keperluan projek infrastuktur yang mendesak”, jelas Datuk Jonathan sambil meluluskan peruntukan berjumlah RM20,000 untuk membiayai pelbagai keperluan JPKK Kg.Longut Baru.
Mengenai beberapa permohonan yang dikemukakan Pengerusi JPKK Kg.Longut Baru, Jailin Gongki yang berucap mewakili penduduk mengajukan beberapa permohonan kepada Datuk Jonathan iaitu, Sebuah Dewan Mini mengantikan Balai Raya yang dibina sejak puluhan tahun yang lalu kini semakin mengalami kerosakan, Peralatan Dapur Dewan, Mesin Pemotong Rumput, sebuah Laptop kegunaan JPKK, Papan Tanda Kampung dan Kenopi (khemah), Datuk Jonathan memberi respon bahawa semua permohonan itu terutama pembinaan Dewan Mini akan diteliti untuk diberi pertimbangan apabila dana kewangan Parlimen mencukupi.
“Untuk permohonan Dewan Mini, kita akan kemukakan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) atau agensi kerajaan yang lain untuk mendapat peruntukan yang mencukupi jelas Datuk Jonathan.
Menyentuh majlis Pesta Kaamatan yang di rayakan kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR), Datuk Jonathan mengharapkan perayaan itu dijadikan landasan untuk memupuk perpaduan, persaudaraan dan keharmonian sedia terjalin dikalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, perayaan Pesta Kaamatan yang biasanya dirayakan diperingkat kampung, pekan, negeri dan peringkat kebangsaan tetapi kini dirayakan bersama para pelancong antarabangsa.
Beliau memuji kepimpinan JPKK Kg.Longut Baru kerana berjaya menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.
“Ini membuktikan satu kejayaan permuafakatan dan kerjasama padu dikalangan penduduk”, tambah Jonathan
         Â



