29 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Sokong Penuh Pindaan RUU Akta Ordinan Buruh Sabah

Hajiji (tiga kanan) menunjukkan buku Akta Pemerdagangan Kanak-kanak yang dilancarkan pada majlis tersebut bersama Saifuddin (dua kanan), Steven (dua kiri) dan Masidi (kanan).

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri menyokong sepenuhnya pindaan RUU Akta Ordinan Buruh Sabah yang dijadualkan pada sesi Persidangan Parlimen Penggal Keempat, Oktober depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berharap kesemua ahli parlimen sebulat suara menyokong pindaan tersebut selepas ianya dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri Sumber Manusia semasa sesi Parlimen Pertama Penggal Ketiga pada 17 Julai lepas.   

“Saya amat berharap bacaan kali kedua pindaan RUU pada sesi persidangan Parlimen Penggal Keempat akan mendapat sokongan sebulat suara daripada semua ahli parlimen. 

“Saya amat yakin dengan pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) ini akan memberi manfaat kepada majikan dan pekerja di negeri Sabah dengan panduan yang lebih terperinci dan teratur untuk semua pihak dalam meningkatkan hubungan industri yang lebih harmoni dan kondusif,

 selaras dengan peranan kerajaan meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen kerajaan menghapuskan buruh paksa di negara ini. 

“Kerajaan Negeri memberi persetujuan dan sokongan sepenuhnya kepada pindaan RUU itu kerana satu daripada 16 perkara pindaan tersebut adalah berkaitan dengan isu human rights dan labour rights serta penghapusan diskriminasi yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman kepada majikan atau mana-mana pihak yang mengamalkan amalan pemerdagangan orang, buruh paksa dan buruh kanak-kanak,” katanya

 ketika berucap merasmikan Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024 di sini, pada Khamis. 

Menurutnya beliau, jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa perlu ditangani dengan bijaksana mengikut dasar dan perundangan sedia ada agar ia dapat dibendung dan dibanteras supaya tidak menjadi isu di peringkat negeri dan antarabangsa.

“Kerajaan negeri memberi perhatian serius dan komited dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa di negeri ini, ia juga memerlukan kerjasama kukuh dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan, badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

“Kedudukan negeri ini yang berkongsi sempadan dengan beberapa negara termasuk Indonesia dan Filipina sehingga perjalanan merentas sempadan lebih mudah, yang sekali gus menjadikan Sabah terdedah kepada aktiviti migrasi rentas sempadan, pemerdagangan orang dan buruh paksa.

“Justeru, kita mengiktiraf dan memperakui peranan penting Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi yang dilantik dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa di Malaysia.
“Sebab itu, kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi-agensi Persekutuan khususnya yang terlibat secara langsung di bawah payung MAPO perlu diperkasakan bagi memastikan aspek penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa dapat dilaksana dengan sebaik mungkin agar negara Malaysia tidak dituduh mengabaikan atau mengambil mudah isu tersebut,” ujarnya.
Hajiji turut mengingatkan semua majikan memastikan amalan baik industri dilaksanakan. “Ini penting dalam membantu usaha kerajaan negeri mela

ksanakan pelbagai agenda pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang bukan saja memerlukan pekerja yang berdaya saing tetapi harus mematuhi perundangan negara.

“Justeru, saya berharap agar kira-kira 178,000 majikan di negeri ini akan sama-sama mengambil bahagian menandatangani ikrar dan akujanji dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa kerana majikan adalah merupakan orang penting yang harus melihat isu ini dengan serius, menyokong dan menanam iltizam untuk menangani jenayah yang mampu menggugat keselamatan rakyat di negeri ini,” tambahnya lagi.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong. –Penerangan– 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN