Ghani menerima cenderakenangan daripada Pegawai Pendidikan Daerah Nabawan Puan Laineh Agindang.
NABAWAN: Kerajaan sentiasa mengutamakan perihal pembangunan pendidikan termasuk bidang sukan dan pembangunan modal insan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, beliau akan sentiasa bersuara untuk memastikan aspek pembangunan modal insan di daerah akan terus terjaga dan terbela.
“Justeru itu saya menyeru kepada semua pemimpin masyarakat dalam pelbagai agensi kerajaan agar sentiasa berganding bahu dan bekerjasama dalam meningkatkan pembangunan modal insan di kawasan ini demi masa depan generasi muda yang berdaya saing dan berkualiti dalam segala bidang” katanya.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata demikian semasa berucap merasmikan pembukaan Kejohanan Olahraga Kali Ke 19 Peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Daerah Pensiangan tahun 2023 di Kompleks Sukan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, warga pendidik dan para ibu bapa mestilah mendorong dan mendokong semangat anak-anak untuk sentiasa bergiat aktif dalam bidang sukan yang mereka minati bagi manfaat dan kebaikan mereka sebagai penerus generasi masa hadapan.
Menurut Ghani, aktiviti sukan merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan pelajar yang cergas fizikal dan mental.
“Menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot, saraf dan emosi, sukan juga mampu membentuk seorang pelajar yang cergas” katanya.
Sehubungan dengan ini jelasnya, para pejalar juga berdisiplin dan secara tidak langsung membentuk seorang atlet yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan.
Terdahulu Ghani memberi pujian diatas semangat, kesungguhan dan komitmen para atlet yang mewakili sekolah masing-masing.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Nabawan Puan Laineh Agindang, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Nabawan Deckson Andipai para Pengetua dan Guru Besar dan pemimpin-pemimpin masyarakat.



