Dr. Joachim (empat, kiri) bersama dengan wakil Pertubuhan Masyarakat Tiong Hua, di Tokong Cina, Ranau.
RANAU: Kerajaan negeri Sabah akan terus menyalurkan bantuan kepada semua golongan masyarakat termasuk masyarakat Tiong Hua.
Dalam ucapan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, beliau berkata Kerajaan sedia ada, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada Masyarakat Tiong Hua di negeri ini.
Sempena Sambutan Tahun Baru cina tahun ini, kerajaan negeri menyumbangkan set kostum tarian singa kepada lima pertubuhan masyarakat Tiong Hua di Ranau iaitu Kinabalu Dragon and Lion Dance Association, SMK Ranau Lion Dance, Kelab Muda Pekan Ranau, Pertubuhan Tarian Singa dan Naga Chon Chu Kung Ranau dan Persatuan Peranakan Tiong Hua Ranau.
Majlis penyerahan bantuan set kostum tarian singa kepada lima pertubuhan Tiong Hua di Ranau ini disempurnakan oleh Datuk Dr. Joachim.
Dr. Joachim yang merupakan Menteri Pembangunan Perindustrian menyatakan bahawa “bantuan seumpama ini diberikan tidak mengenepikan mana-mana pihak dan kerajaan adil kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira apa juga fahaman politik dan pegangan agama di negeri ini.
“Kerajaan sekarang ini bukan untuk mencari populariti tetapi akan terus bekerja membangunkan negeri Sabah.”
Majlis penyerahan bantuan yang diadakan di Tokong Cina pekan Ranau itu dihadiri oleh wakil pemimpin parti dalam Kerajaan GRS serta Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Arthur Sen.
Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berharap masyarakat Tiong Hua akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada.
“Kerajaan terbuka untuk mendengar keluhan setiap lapisan masyarakat dan boleh menghubungi pemimpin- pemimpin masyarakat bagi menyuarakan permasalahan tersebut”, katanya.