31 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan prihatin, terus bantu rakyat terkesan kenaikan harga barangan menerusi PJMKM

Dr. Joachim (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Muhammad Irwan (kiri) sambil memegang produk buatan tempatan dalam PJMKM di Agro Baazar PPK Kinabalu, Ranau pada Sabtu

RANAU: Kerajaan sentiasa prihatin dan terus mengambil langkah-langkah untuk membantu rakyat yang terbeban oleh kenaikan harga barangan yang bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi di peringkat global.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, antara langkah yang diambil ialah dengan mengadakan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) yang diadakan di setiap daerah sehingga Disember ini dan menawarkan barangan keperluan pada harga rendah sehingga 20 peratus.

“Melalui PJMKM, pihak Kerajaan telah menurunkan harga barang keperluan sehingga 20% dan ia disasarkan kepada golongan yang berpendapatan rendah.

“Sebanyak lapan jenis barangan makanan asas tersenarai dalam jualan PJMKM iaitu, beras, gula, minyak masak, tepung, telur, ayam, ikan dan sayur-sayuran serta buah-buahan,” katanya semasa merasmikan PJMKM peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang yang diadakan di Agro Bazaar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Kinabalu cawangan Daerah Ranau, di sini, pada Sabtu.

Menyambut baik program sebegini, Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berharap ia dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan golongan sasar.

Selain itu, beliau juga berharap semua pengusaha dapat menjual barangan pada harga yang berpatutan dan tidak mengambil kesempatan terutamanya barangan yang agak terhad pengeluaran ketika ini seperti telur ayam, daging, minyak masak dan lain-lain.

Beliau turut mengambil kesempatan itu untuk menasihati orang ramai agar mengurangkan pengambilan gula dan penggunaan minyak masak secara berlebihan dalam kehidupan seharian untuk kebaikan kesihatan mereka.

Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berterima kasih kepada Pengurus Besar PPK Ranau, Muhammad Irwan Maruji kerana menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Muhammad Irwan berkata, PJMKM di DUN Kundasang mendapat sambutan yang agak menggalakkan.

Di Sabah, program tersebut dilaksanakan di 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilaksanakan serentak mengikut daerah. Bagi Ranau, DUN yang seterusnya ialah Paginatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN