24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

KERAJAAN PERSEKUTUAN PERLU FOKUS ISU PATI YANG SEDANG BERLAKU DEPAN MATA: PEMUDA UPKO

“Bagi Upko, kita sudah pasti akan terus berusaha dan bekerja sehabis daya untuk mencari penyelesaian. Kita sama sekali tidak akan berhenti,”

-Felix Joseph Saang-

KOTA KINABALU: Pemuda Upko Pusat menggesa Kerajaan Persekutuan untuk fokus kepada isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) yang sedang berlaku di depan mata.

Ketua Pemuda Upko Pusat Felix Joseph Saang berkata mereka mahu mendesak agar Kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu PTI yang sudah berlaku dalam negara dan semakin parah.

Pemuda UPKO persoalkan kenapa isu Pelarian Rohingya ini menjadi perhatian utama berbanding dengan isu PATI yang sudah begitu lama membelenggu negeri Sabah, yang seharusnya perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau berkata Pemuda Upko tidak berniat menyentuh soal pelarian Rohingya untuk kepentingan politik tetapi isu PTI yang berada di depan mata sekarang amat kritikal.

“Dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, saya amat tertarik dan menyokong penuh tuntutan salah satu NGO daripada Semenanjung yang diberi nama Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela).

“NGO ini mahu agar Kerajaan Malaysia mengeluarkan kad pengenalan baharu sebagai langkah membanteras sindiket menjual MyKad yang telah menyebabkan lambakan PTI di negara.

Sudah pastinya Sabah merupakan negeri yang menerima kesan terburuk dalam tragedi ini,” ujar Felix.

Upko telah berjuang begitu lamanya dalam isu ini, kata Felix selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Upko Pusat melalui Video Conferencing.

“Malah Upko juga merupakan parti politik di Sabah yang pertama mencadangkan agar Kad Pengenalan ini ditarik balik dan diperbaharui.

“Sewaktu Upko berada dalam Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu, kita telah diugut untuk keluar daripada BN kerana kelantangan dan keberanian kita untuk menyelesaikan hal ini.

“Kita harapkan parti-parti politik tempatan Sabah yang kini bersama dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini akan melakukan perkara yang lebih dari itu, lebih berani, tegas dan lantang menyuarakan isu ini.

“Bagi Upko, kita sudah pasti akan terus berusaha dan bekerja sehabis daya untuk mencari penyelesaian. Kita sama sekali tidak akan berhenti,” katanya.

“Saya amat yakin Kerajaan Negeri komited dalam hal ini dan mahu mencari cara penyelesaian yang terbaik,” ujar Felix.

Katanya rakyat Sabah harus faham bahawa kuasa sebenar yang membolehkan langkah yang lebih konkrit dan tegas diambil dalam mencari penyelesaian isu PTI terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terletak di bawah Kerajaan Persekutuan. Kad Pengenalan hanya boleh dikeluarkan oleh JPN.

“Kerajaan Negeri Sabah tiada kuasa dalam hal ini dan tidak boleh mengeluarkan Kad Pengenalan atau mana-mana dokumen kerakyatan, hanya Kerajaan Persekutuan yang memiliki bidang kuasa melalui jabatan peringkat Persekutuan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya.

Oleh itu, Pemuda Upko mahu agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan dan seterusnya melaksanakan cadangan agar Kad Pengenalan ditarik balik dan diperbaharui.

Sementara itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Sabah mematuhi arahan PKP.

Felix juga mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan iaitu para doktor, jururawat, kakitangan perubatan, polis, askar, Rela, bomba, Pejabat Daerah, Majlis Daerah, kakitangan UPPM dan semua yang terlibat atas dedikasi dan pengorbanan mereka dalam memerangi penularan wabak Covid-19. TAMAT

Sumber: Penerangan Pemuda UPKO

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN