25.8 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Negeri Perlu Sehaluan Dengan Kerajaan Persekutuan -Jonathan

Ismail (kanan) menyerahkan borang penyertaan ahli baru kepada Abidin diperhatikan Jonathan (lima kanan) dan Peddrin (tiga kanan) bersama para jemputan serta hadirin yang lain.

RANAU: Timbalan Menteri II, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jonathan Yasin berkata, Kerajaan Negeri perlu sehaluan dan sebulu dengan kerajaan persekutuan bagi menikmati arus pembangunan perdana yang berterusan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ranau, mnyifatkan kerajaan negeri yang mentadbir secara bersendirian adalah kurang berkemampuan memajukan negeri kerana kepincangan menyediakan infrastruktur untuk dinikmati rakyat akar umbi.

Beliau menjelaskan demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kinapulidan di Dewan Mini Kg.Kinapulidan Ranau baru-baru ini yang dihadiri Calon Perikatan Nasional (PN) N.38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir bersama lebih 100 orang penduduk.

Menurut Jonathan lagi, rakyat akan rugi sekiranya berada dalam kerajaan yang tidak sebulu dengan kerajaan Pusat (Persekutuan) memandangkan kerajaan Sabah sekarang ini tidak berkemampuan menyediakan kemudahan pembangunan mega kerana tidak mempunyai peruntukan mencukupi bagi membiayai lebih banyak projek untuk rakyat.

“Justeru rakyat Sabah khususnya para pengundi di DUN N.38 Paginatan ini perlu bertindak bijak memilih calon terbaik yakni Datuk Abidin agar kemenangannya menjadi kenyataan dan akan mewakili rakyat N.38 Paginatan menikmati kemajuan berterusan”, jelas Jonathan.

Sementara itu, Datuk Abidin dalam ucapanya, berterima kasih kepada PDM Kinapulidan kerana berinisiatif menganjurkan majlis itu yang disifatkannya sebagai ruang dan peluang terbaik rakyat bersama pemimpin bersemuka serta mendengar isu-isu semasa yang sahih.

Sebahagian penyokong Datuk Abidin madingkir.

Datuk Abidin seterusnya memaklumkan tentang perpindahannya dari parti UPKO ke Perikatan Nasional (PN) yang disalah fikir sesetengah pihak terutama musuh politik beliau yang menyifatkan tindakannya itu sebagai ‘Lompat Katak’.

“Tiada istilah ‘Lompat Katak’ seperti yang dikatakan sesetengah pihak, bukan saya seorang sahaja yang berpindah parti ke satu parti, sebaliknya ada ramai termasuk President Parti Warisan, diapun pernah melompat?

“Menuduh saya sebagai ‘Lompat Katak’ sebenarnya tidak adil kerana bertindak keluar dan Masuk parti adalah lumrah dalam politik, namun harus dikenalpasti kenapa seseorang pemimpin itu beralih ke perjuangan parti lain dan tidak patut dipersalahkan”, jelas Datuk Abidin.

Beliau memberitahu, matlamat dan keputusannya untuk menyertai PN adalah bertujuan positif dan bukan kepentingan peribadi sebaliknya, demi rakyat agar menikmati arus pembangunan mapan berterusan daripada kerajaan Persekutuan kerana selagi masih dalam kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan, maka selama itulah tiada kemajuan untuk rakyat.

“Kita berpindah dari parti ke parti lebih besar adalah mengejar pembangunan untuk rakyat dan bukan kepentingan peribadi”, tambah Datuk Abidin yang juga mantan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

Turut hadir dan berucap ialah, Ketua PDM-PN Kinapulidan, IsmailBin Galibin, Ketua Bahagian STAR Ranau, Feddrin Tuliang dan mantan Ketua Bahagian PBS Paginatan, Datuk Dr.Othman Minudin.

Majlis berakhir dengan penyerahan borang daripada lebih 30 orang ahli UPKO menyertai parti Star (PN).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN