26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Negeri Dipelawa Hantar Pelajar Ke Republik Serbia

Zulkifli (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Tun Juhar sambil disaksikan Jeffry (kiri).

KOTA KINABALU:  Kerajaan Serbia mempelawa Kerajaan Negeri Sabah untuk menghantar para pelajar melanjutkan pelajaran  di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Konsul Kehormat Republik Serbia di Malaysia, Datuk Zulkifli Amin Mamat berkata tawaran tersebut termasuk kos yang akan dibiayai oleh pihaknya.

“Kita bercadang untuk mempelawa kerajaan negeri untuk menghantar pelajar-pelajar terpilih ke Serbia yang mana kita akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Serbia di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah,” katanya.

Menurut beliau, Sabah merupakan antara negeri di negara ini yang mempunyai keistimewaan terutama dari segi tempat-tempat menarik khususnya pulau dan pantai yang indah yang boleh dikunjungi oleh rakyat Serbia.

“Ketika ini kita sedang menggalakkan rakyat Serbia untuk keluar melancong dan daripada mereka pergi ke negara-negara lain apa salahnya mereka datang ke Sabah kerana Serbia tiada pantai,” ujarnya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, hari ini. 

Tambah Zulkifli, tujuan kunjungan adalah bagi merapatkan hubungan antara Malaysia dan Republik Serbia.

“Kunjungan pada hari ini adalah salah satu dari siri kunjungan rasmi kepada pembesar-pembesar negeri bagi memaklumkan tentang peluang-peluang yang boleh diterokai oleh kedua-dua belah pihak terutama bagi sektor pendidikan dan pelancongan,” jelasnya.

Beliau yang diiringi pegawainya, Datuk Jeffry Mohd Ali turut memaklumkan kini terdapat kurang 100 orang rakyat republik itu berada di Malaysia dan kebanyakannya adalah golongan profesional yang bertugas di Kuala Lumpur dan Sarawak. –Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN