LABUAN: Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membuat kajian terperinci mengenai cadangan untuk membina Pelabuhan Bersepadu Labuan yang dicadangkan di kawasan Industri Rancha-Rancha.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata kementeriannya akan meminta Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) menyediakan garis panduan dan dokumen lengkap ‘Request For Proposal (RFP) untuk pembida yang berminat.
“Saya perlu menunggu garis panduan RFP daripada LPA terlebih dahulu sebelum menjemput penyokong projek dan LPA akan mengkaji dan menilai untuk pengesahan dengan MOT” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Syarikat Victoria STS dan Fendercare Marine Asia Pacific Pte LTd. yang diadakan di Hotel Dorset Grand Labuan, di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan yang lain, Wee turut menjelaskan Kementeriannya akan menyediakan tutor bertauliah bagi memudahkan pemohon lesen pemandu barang (GDL) di pulau ini.
Katanya, beliau telah menghubungi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hisyam untuk mengkaji supaya tutor bertauliah dapat di datangkan ke Labuan.
“Kementerian telah menerima aduan daripada warga Labuan mengenai ketiadaan tutor GDL untuk mengajar teori enam jam di Labuan menyebabkan mereka (pemohon) terpaksa ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan GDL dan ini menyebabkan mereka menanggung perbelanjaan yang lebih tinggi” katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA), Datuk Kamalanathan P. Pichanathan dan Ketua Pegawai Eksekutif Victoria STS, Benjamin Bernad Bijion.