KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam Belanjawan 2021.
Menurutnya, apa yang dikatakan Menteri Kerja Raya, Dato Fadillah Yusof kononnya bahawa peruntukan RM100 untuk Pembinaan Jalan-jalan Besar di Sabah hanya untuk projek naik taraf jalan raya Donggongon ke Papar Spur adalah bercanggah dengan fakta.
“Dalam kandungan Buku Anggaran Belanjawan 2021, tidak dinyatakan bahawa peruntukan RM100 adalah untuk Naik Taraf Jalan Raya Donggogon ke Papar yang sudah 90 peratus siap.
“Kalau itu tujuannya, kenapa tidak diwujudkan butiran perbelanjaan untuk tujuan projek tersebut dalam anggaran perbelanjaan?
“Kalau cakap pasal satu projek saja, kena la letak butiran tu di dalam buku dengan telus dan terperinci. Saya percaya kita semua ada sekolah dan tahu menulis dengan betul untuk perkara-perkara asas begini,” kata Madius.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Fadillah yang dilaporkan dalam sebuah portal berita, di sini, hari ini.
Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) berkata, selaku Ahli Parlimen dari Sabah, beliau merasa terhina dengan peruntukan hanya RM100 diberikan seperti yang tekandung dalam buku Belanjawan 2021.
Dalam ucapan perbahasannya, Madius menjelaskan bahawa, Sabah memerlukan peruntukan untuk menjalankan Kerja-kerja seperti “resurfacing” atau “preservation treatment”, “minor rehabilitation” dan “major rehabilitation”.
“Sejumlah RM969 juta peruntukan yang diperlukan iaitu RM228 juta resurfacing; RM336 juta “minor rehabilitation” dan RM325 juta “major rehabilitation”
“Antara Jalan Persekutuan di Sabah yang berkeadaan demikian ialah Jalan Telupid- Batu 32 dan Jalan Kalabakan- Sepulut yang sudah diisytiharkan oleh JKR Sabah sebagai jalan raya yang tidak lagi boleh lagi diselanggara atau (unmaintainabale road) sebab struktur jalan-jalan ini sudah rosak teruk dan perlu dibina semula,” katanya.
Madius berkata, sepatutnya Kementerian Kewangan memberi keutamaan dalam pengagihan peruntukan kepada dua buah jalan ini untuk pembinaan semula.
“Maka itulah sebabnya saya telah mencadang dua usul iaitu memotong sebanyak RM1.029 bilion daripada peruntukan RM3.6 bilion Jalan Raya dan Jambatan di Semenanjung.
“Kemudian usul kedua agar memperuntukkan semula RM1.029 bilion iaitu sekitar RM500 juta untuk Jalan-jalan Besar di Sabah dan RM500 juta lagi diperuntukkan kepada naik taraf Jalan Raya dan Jambatan di Sarawak.
“Namun kedua dua usul ini ditolak speaker atas alasan teknikal,” kata Madius.
Tambahnya, bila dikaji jalan-jalan besar Persekutuan yang sudah diturap, di Sabah hanya 50% daripada kira-kira 23,000 km iaitu sekitar 11,000 kilometer sahaja.
“Di Semenanjung 81 peratus, manakala Sarawak 61 peratus. Takkan wilayah antara penyumbang besar hasil negara hanya dipandang dengan sebelah mata.
“Satu lagi perkara ialah Lebuh Raya Pan Borneo. Sebab ada mengatakan bahawa apa yang telah diperuntukkan dalam pakej lebuh raya ini, hanya itulah yang akan diberi pada Sabah.
“Masalahnya, berdasarkan kajian yang telah dibuat daripada 23 pakej keseluruhan Pan Borneo, yang diluluskan hanya dua pakej. Mana boleh. Kita mahu selesaikan semua,” tegas Madius.
Tamat