30 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kepentingan Tadahan Air: Ramlan Godos

Foto atas sekadar hiasan

Jangan semakin galak menggondolkan bukit dan gunung di sekitar kampung sehingga merosakkan tadahan air. Akhirnya menyesal tidak berguna.

-Ramlan Godos,

MUSIM kering sudah tiba di sini. Bumi kita sudah kering di sana sini. Walaupun hujan turun sekejap, tetapi tidak dapat menimbal balas kekeringan tadahan air, anak sungai dan sungai sungai utama kita. Lihat sahaja Sg Liwagu di bawah jambatan dekat tapak Tamu Ranau, mengalir semakin lesu tidak bermaya.

Mengikut ramalan, dunia akan mengalami kekeringan dalam tempoh 2019-2021. Bukan saya yang meramalkan. Berapa teruk ia boleh menjejaskan Sabah, rujuk Jabatan Meteorologi yang sentiasa memantau cuaca. Bermakna kira kira dua tahun lagi kita perlu tempuhi.

Ramlan Godos

Daripada kita sibuk mempersoalkan sama ada ramalan ini tepat atau meleset, lebih baik kita perhati betul-betul persekitaran kita sendiri.

Tadahan air kami semakin hari semakin kering dengan air anak sungai semakin mengecil. Dari air sungai itulah tujuh buah kampung mendapatkan bekalan air. Boleh cukup lagikah?

Mujurlah kita ada Kinabalu Park. Darinya mengalir sungai sungai yang menjadi lifeline kepada beratus ratus buah kampung di sekitarnya. Bukan setakat untuk Ranau tetapi Kota Belud, Tuaran, Kota Marudu dan lain lain. Satu anugerah Allah yang kita ambil mudah atau “take for granted.”

Sama samalah kita menjaga anugerah Illahi ini dengan sebaik baiknya. Kalau bukan manusia tak akanlah bangsa Jin yang kita harapkan menjaga tadahan air dan sungai sungai kita.

Sebab bangsa Jin pun marah kalau kita semberono menumbang hutan dan merosakkan sungai sungai. Petua dan pantang larang orang tua tua dulu baik kita diamalkan semula. Dahulu waktu alam sekitar kita utuh terpelihara, Jin pun suka tinggal di hutan dan di sepanjang sungai yang berkocak, menderu mengalir dengan bersih, membawa nutrien dan galian terlarut untuk minuman manusia. Cuma kita saja ambil enteng. Sekarang, bangsa Jin hutan pun sudah jadi pelarian ke tempat lain. Tidak sanggup berjiran lagi.

Akibat tangan manusia itulah terjadi. Hutan dan tadahan air musnah menjadi kebun orang, homestead eksklusif, atau kawasan pelancongan. Slow down bolehkah?

Jangan kita biarkan Taman Taman Sabah (TTS) sahaja yang menjaga kawasan pergunungan sebagai tadahan air kita. Hakikatnya, tanpa TTS tujuh buah kampung sekelompok dengan kampung kami sudah lama kebuluran tanpa air.
Bagi kampung kampung yang bukan bersempadan dengan TTS nasib mereka macam mana?

Jangan semakin galak menggondolkan bukit dan gunung di sekitar kampung sehingga merosakkan tadahan air. Akhirnya menyesal tidak berguna.

Jangan salahkan sesiapa kerana yang menjadikan sungai sungai menjadi semakin kecil macam air parit, berbauk busuk, pekat bercampur kotoran baja dan racun rumpai adalah tangan tangan manusia juga.

Inilah peringatan di sepanjang PKP Covid-19 dan musim kemarau. Jagalah hutan dan sungai sungai kita. Selebihnya kita serahkan kepada Yang Maha Kuasa.

Sumber: Facebook Ramlan Godos/ 30 April 2020.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN