ADVERTISEMENTspot_img

PMBS AKAN TERUS MENJADI WADAH PENYATUAN KAUM: ARIFIN

PENERIMA SUMBANGAN DAN BANTUAN…Mohd Arifin (lima dari kiri) diiringi Pg Saifuddin (enam kiri) Ahmad Shah( lima kanan), CEO Yayasan Dangsanak Sabah,Datuk Hj Sapdin Ibrahim (empat kiri) bersama penerima sumbangan dan bantuan.

KOTA KINABALU: Persatuan Masyarakat Brunei Sabah ( PMBS) akan terus dijadikan wadah untuk menyatukan perpaduan kaum terutama masyarakat Brunei di Sabah.

Presidennya, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif berkata dalam hubungan ini PMBS akan terus menjalinkan hubungan dan aktiviti-aktiviti yang dapat menyamai dan memantapkan lagi perpaduan kaum.

Mohd Arifin yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata PMBS untuk tahun ini merancang menganjurkan Program ‘ Baurung-Urung’ yang akan menyelitkan aktiviti seperti Pesta Ambuyat makanan tradisi masyarakat Brunei dan pelbagai etnik di wilayah Sabah.

” Kita akan teruskan acara-acara seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kebudayaan dan aktiviti yang berkaitan dengan ekonomi masyarakat Brunei,” katanya ketika berucap pada Program Mahabbah Syawal PMBS dan Yayasan Dangsanak Sabah ( YDS) di Dewan Wisma Wanita pagi Ahad.

Majlis yang menghimpunkan ketua-ketua cawangan ahli-ahli PMBS itu, dihadiri oleh kira-kira 400 orang termasuk tetamu jemputan.

Terdahulu, Pengerusi Pelaksana yang juga Naib Presiden PMBS 2, Datuk Haji Ahmad Shah Talib dalam ucapan alu-aluannya berkata kehadiran begitu ramai ketua cawangan dan ahli-ahli PMBS membolehkan mereka bertemu mesra dalam suasana mesra santai untuk mengeratkan lagi ikatan silatulrahim sesama mereka.

TETAMU KENAMAAN…Shahelmey, (lima dari kiri) Shah Alfie ( empat dari kiri), Mohd Arifin (kiri sekali) dan tetamu kenamaan lain yang hadir di majlis itu.

Ahmad Shah berkata program tahunan ini juga membolehkan mereka kenal mengenali antara satu dengan lain kerana majlis ini dapat mengumpulkan semua ketua-ketua cawangan serta ahli yang datang dari jauh dari seluruh Sabah termasuk dar Sandakan.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan merakamkan penghargaan semua Ahli Jawatankuasa Pusat PMBS yang bertungkus menjayakan Program Mahabbah Syawal PMBS 2026 ini.

Pada majlis itu Yayasan Dangsanak Sabah juga menyampaikan sumbangan kepada lima buah tahfiz masing-masing dari Papar, Ranau dan Pitas yang kesemuanya berjumlah RM10,000 dan bantuan kewangan kepada dua ahli PMBS yang ditimpa musibah iaitu Timbalan Pengerusi PMBS Bandaraya, Encik Mumin Muhammad dan Ketua Penerangan PMBS Tg Aru Kota Kinabalu, Encik Yusof Kassim.

Mereka menerima sumbangan RM1,000 untuk meringankan kos perubatan mereka.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Presiden PMBS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Manis, Datuk Haji Pengiran Saifuddin Pg Tahir, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya, Wakil Rakyat Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, Penasihat PMBS, Datuk Haji Mohd Yusof DSP Mohd Kassim, bekas Presiden PMBS, Datuk Hj Pengiran Hussein Datuk Pg Tahir, bekas Mayor Bandaraya, Datuk Elias Ibrahim, Konsul Agung Brunei Darussalam di Sabah, Dayang Fauzana Octavia Alli, ketua-ketua jabatan dan tetamu jemputan yang lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN