27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kepelbagaian program, usaha NGO merupakan platform tepat dalam perkhidmatan kebajikan: Robert

Robert (tengah) bersama George (empat dari kiri) dan Hj. Yazid (empat dari kanan) memotong riben sebagai tanda perasmian
bangunan Pusat Kegiatan Kebajikan Masyarakat Bingkor.

KENINGAU: Kepelbagaian program serta usaha berterusan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) merupakan platform yang tepat dalam memperkenalkan serta menyebar luaskan perkhidmatan kebajikan yang disediakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, peredaran masa dan kemajuan teknologi digital menuntut agar perkhidmatan yang disampaikan sentiasa releven dengan kehendak individu, keluarga dan komuniti.

“Dengan mengoptimumkan sumber sedia ada serta menyahut saranan perbelanjaan berhemah oleh kerajaan, usaha-usaha membantu rakyat dapatlah dijalankan secara usaha sama di antara agensi kerajaan dan komuniti selaras dengan konsep Kebajikan Tanggungjawab Bersama” katanya semasa berucap merasmikan bangunan Pusat Kegiatan Kebajikan Masyarakat Bingkor.

Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor yakin Pusat Kegiatan Kebajikan Masyarakat Bingkor akan memainkan peranan dalam mengenalpasti golongan sasar yang memerlukan bantuan.

“Pendekatan ‘cari dan bantu’ dilihat berkesan dalam memudahkan cara penyampaian perkhidmatan jabatan dan agensi di bawah Kementerian yang berkaitan untuk mengesan rakyat yang memerlukan bantuan agensi berkenaan” jelasnya.

Sebagai contoh katanya, golongan sasar yang memerlukan bantuan dapat segera dikenal pasti dan diberikan bantuan sewajarnya bergantung kepada keperluan setiap kes.

Menurut Robert, keberkesanan pendekatan ini bukan sahaja dapat membantu mereka yang memerlukan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) malah membantu mereka dari segi mengenal pasti golongan sasar yang terlepas pandang oleh lain-lain agensi kerajaan.

“Hal ini memerlukan kerjasama bersama ahli komuniti dan bukan peranan jabatan semata-mata. Penyampaian maklumat dan perkhidmatan secara efisien dan fokus perlu dilaksanakan secara berterusan selaras dengan perubahan isu semasa dan masyarakat sekeliling” katanya.

Sehubungan dengan ini Robert menyeru supaya gandingan kerjasama antara jabatan, pemimpin masyarakat, sukarelawan serta komuniti digembing bersama agar golongan terpinggir dan berisiko dapat dibantu daripada terus ketinggalan dalam arus perdana pembangunan.

Beliau menyifatkan Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor dapat menyemarakkan lagi perkhidmatan khidmat masyarakat melalui aktiviti kerja komuniti dan kesukarelawanan.

Tambahnya, hasrat ini dilihat amat bertepatan dengan merancang pengisian program yang membawa manafaat kepada mereka yang memerlukan.

Beliau juga menggesa komuniti setempat di kawasan ini seperti pertubuhan belia sekitar turut sama digalakkan untuk terlibat dalam menjayakan aktiviti berkonsepkan kemasyarakatan.

Pada masa sama Robert merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Sabah Credit Copetation kerana melulus dan menyalurkan peruntukan pembinaan bangunan Pusat Kegiatan Kebajikan Masyarakat Bingkor.

Hadir sama pada majlis itu CEO Sabah Credit Copetation George Tulas, Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor Haji Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN