PADAM..anggota bomba berusaha memadam kebakaran
RANAU: Sebuah kenderaan pacuan empat roda dilaporan terbakar di Kilometer 9, Jalan Ranau-Kundasang pada Ahad malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taip, berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan 8.55 malam berhubung insiden itu.
“Sebuah jentera Tender Penyelamat Kebakaran (FRT) dan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota BBP Ranau diketuai Pegawai Operasi, Becket Gumat.
“Tiba di lokasi, dari jarak 11 Kilometer daripada BBP Ranau, didapati sebuah kereta jenis Isuzu Invader telah terbakar 70 peratus.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula dan air dari jentera Bomba,” katanya kepada media, hari ini.
Menurut Ridwan, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu dan operasi terkawal pada jam 9.20 malam.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 9.21 malam.
“Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” tambah Ridwan.