ADVERTISEMENTspot_img

Kenaikan pangkat adalah amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab : DSP Simiun

PEMAKAIAN PANGKAT …DSP Simiun Lomudin menyemat pangkat Sarjan kepada salah seorang anggotanya.

RANAU: Anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di daerah ini yang menerima kenaikan pangkat perlu menjadi mentor kepada anggota bawahan dan lebih matang dalam menjalankan tugasan hakiki.

Menegaskan perkara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, kenaikan pangkat yang diterima oleh anggota senior adalah suatu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Sebagai anggota senior, saya berharap anda semua akan menjadi mentor kepada anggota bawahan yang lain agar tahap disiplin tinggi dalam menjalankan tugas terus terpelihara”. Tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya ketika majlis penyematan pangkat Koperal ke Sarjan kepada 20 orang anggota IPD Ranau pada Khamis.

Katanya, anggota yang dinaikkan pangkat perlu bersyukur dan menggunakan kelebihan itu untuk terus memberikan khidmat cemerlang dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan masyarakat daerah ini.

GAMBAR KENANGAN…Simiun merakam gambar kenangan dengan anggota yang dinaikkan pangkat.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan para anggotanya agar sentiasa menolak gejala rasuah dan penyalahgunaan najis dadah yang boleh merosakkan masa depan diri sendiri dan keluarga.

“Dua perkara ini iaitu gejala rasuah dan penyalahgunaan najis dadah perlu dihindar sama sekali. Jangan sesekali terjebak dengan kedua-dua aktiviti merosakkan masa depan diri sendiri dan keluarga.” Tegasnya.

Turut hadir dalam majlis itu adalah ASP Jailix Amindang, Ketua Bahagian Pentadbiran Daerah (KBPD), ASP Affendy Che Yok, Ketua Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan ASP Lesius Drunnsung, Wakil Ketua Cawangan Khas Daerah serta pegawai-pegawai kanan yang lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN