Sabin ketika ditemui media.
KOTA KINABALU : Kempen Pengurangan Beg Plastik yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sejak 1 Ogos lalu setakat ini berjalan lancar.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, sambutan daripada orang ramai termasuk para peniaga amat menggalakkan.”Sukacita saya maklumkan kempen ini berjalan lancar dan kita mendapat kerjasama daripada penduduk di sekitar Kota Kinabalu dan juga mereka yang datang ke Bandaraya Kota Kinabalu.
“Setakat ini kita tidak memberikan amaran dan kita dapati mereka ada menghubungi untuk mendapatkan penangguhan bagi menghabiskan stok plastik mereka.
“Namun, kita tidak memberikan kebenaran sebaliknya memberikan kelonggaran dari segi cara lain bagaimana kita dapat membantu peniaga tersebut supaya plastik itu digunakan tanpa mencemarkan alam sekitar.
“Kita sedia maklum ada di antara peniaga ini telah pun memesan sejumlah plastik yang agak banyak sejak awal tahun ini bagi tujuan perniagaan mereka.
“Kita berbincang dengan mereka sebab itu kita tidak memberikan blanket approval untuk pemanjangan tempoh masa mereka menghabiskan stok mereka,” katanya ketika sesi temubual media selepas Majlis Pelancaran Program Persembahan Kesenian Dan Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah ( PBRSS) Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, pada Ahad.
Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS), Datuk Japlin Akim berkata program kebudayaan dan kesenian dapat menjadi pemangkin kepada hubungan harmoni suku kaum yang ada di Sabah.”Program Persembahan Kesenian Dan Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PBRSS) pada hari ini mempersembahkan persembahan kebudayaan daripada pelbagai suku kaum di negeri ini.
“Saya fikir ini sangat sesuai sempena bulan kemerdekaan sebagai satu pengisian di mana kita mengharapkan ia dapat menjadi pemangkin kepada hubungan harmoni suku kaum yang ada di Sabah,” katanya.
Hadir sama, Ketua Daerah Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Saidon Kadis, Pengarah Pusat Khidmat Rakyat Sepanggar, Ashim Jamat dan Pengerusi Persatuan Rumpun Bajau Sama Bandaraya Kota Kinabalu, Shamsuddin Awang Aman.-Penerangan–