Semua guru guru dan pelajar-pelajar SMJK Ken Hwa
KENINGAU: Jalur Gemilang, lagu patriotik, sajak, poster dan pelbagai karya kreatif menjadi wadah warga Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ken Hwa menghidupkan semangat kemerdekaan, menerusi Sambutan Bulan Kemerdekaan 2026 yang memuncak dengan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia baru -baru ini.
Program yang berlangsung di Dewan Sekolah SMJK Ken Hwa itu bertujuan menyemai semangat patriotisme, menghayati sejarah kemerdekaan serta memberi ruang kepada murid mencungkil bakat dan kreativiti masing-masing.
Jurucakap Pengerusi Penganjur, Cikgu Julietina, berkata penglibatan murid dalam pelbagai aktiviti sepanjang bulan kemerdekaan turut bertujuan membina komitmen dan daya saing, selain memupuk sikap toleransi antara semua kaum dan bangsa.
Menurutnya, pengisian sambutan bukan sahaja memberi pendedahan mengenai sejarah kemerdekaan Malaysia, malah menjadi ruang untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan pelajar.
Antara pengisian utama ialah menghias persekitaran sekolah dengan Jalur Gemilang, nyanyian lagu patriotik pada awal pagi dan waktu pulang serta pengibaran Jalur Gemilang semasa perhimpunan.
Pelbagai pertandingan turut dianjurkan, termasuk Mencipta Kad Gergasi Kemerdekaan, Keceriaan Kelas Merdeka, Doodle Hari Kemerdekaan, Melukis Poster Hari Kemerdekaan, Mendeklamasikan Sajak, Mencipta Topi Bertemakan Kemerdekaan, Programming Problem Solving dan Reka Bentuk Makanan Bertemakan Kemerdekaan.
Aktiviti berkenaan melibatkan murid mengikut tingkatan dan kategori masing-masing, dengan penganjuran oleh pelbagai panitia serta unit sekolah.
Keseluruhannya, sambutan dirangka bukan sekadar untuk meraikan kemerdekaan, tetapi menjadikan sejarah, patriotisme, kreativiti dan toleransi sebagai pengalaman yang dekat dengan kehidupan murid di sekolah.



