Mohd Hanafiah ( tengah) dan rombongan bergambar kenangan bersama Mohd Rafi ( enam dari kiri)
LABUAN:Jabatan Kemajuan Masyarakat Wilayah Persekutuan Labuan (KEMAS) nenerima peruntukan RM300,000 untuk menaik taraf empat buah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) yang telah usang.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra KEMAS Labuan di sini, pada Jumaat.
Beliau bersama pengarah pengarah KEMAS dari seluruh negeri termasuk pengarah pengarah bahagian Ibu Pejabat KEMAS dalam rangka lawatan kerja Program Santunan Desa KEMAS peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Penasihat Giat MARA Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan, Naib Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Khalid Ghani, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) zon Empat Labuan, Hajah Niswati Tarji dan Pegawai KEMAS Wilayah Persekutuan Labuan, Gilbert Juan.
Sementara itu beliau menjelaskan KEMAS juga telahpun menjalankan kajian menyeluruh berhubung keperluan menaik taraf dan baik pulih lebih 10,000 kelas Tabika dan Taska di seluruh negara.
Katanya kajian tersebut selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KDW) bagi memastikan pendidikan awal kanak kanak khususnya di luar bandar lebih teratur dan terjamin.
Selain itu katanya, KEMAS juga telah memperluaskan program Tabika pra Tahfiz sebagai tanggung jawab KEMAS meletakkan kepentingan agama seawal usia anak anak supaya akhlak mereka tidak terkeluar dari landasan.
“Sehingga kini program Tabika Pra Tahfiz telah pun diperluaskan kepada 4,145 kelas yang melibatkan 62,175 kanak kanak,” katanya.
Jelas beliau lagi, KEMAS juga akan mewujudkan Tabika Tunas Istimewa khusus untuk golongan kanak kanak kelainan upaya dan autisme yang akan dimulakan pada bulan Julai.
Katanya, bermula tahun depan setiap negeri termasuk Labuan akan diwujudkan satu Tabika Tunas Istimewa.
KEMAS juga katanya, akan memperkasakan golongan belia melalui penganjuran Program e-Sukan yang akan dilaksanakan pada Jun ini.
“Ia merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang menyasarkan golongan belia dan komuniti dalam bidang sukan dan teknologi digital”, katanya.



