Robert dan rombongan melawat LRA Agudon yang kelihatan sungainya hampir kering.
KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin melakukan lawatan kerja di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) sungai Bayayo di Bunsit Bingkor Pada Isnin.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata, lawatan beliau bertujuan meninjau keadaan LRA tersebut berikutan musim kemarau ini.
Katanya, keadaan muka sauk LRA
sungai Bayayo di Bunsit berada dalam keadaan waspada kerana paras air tersebut kian menyusut.
Walau bagaimanapun katanya, ia masih beroperasi secara normal ketika ini.
“Kita sangat berharap dalam beberapa hari ini supaya berlaku hujan dan mudah-mudahan keadaan tersebut boleh menaikkan semula paras air sungai b
Bayayo bagi kelangsungan bekalan air bersih di LRA Bunsit Bingkor.
Pada hari yang sama Robert melawat LRA Agudon yang turut membekal air di sekitar daerah Keningau.
Beliau berharap bekalan air daripada loji-loji yang ada di daerah ini masih mampu untuk memenuhi keperluan semasa penduduk khususnya di Daerah Keningau sehingga musim kemarau berakhir.
Namun Robert menyifatkan ianya berada dalam keadaan kritikal kerana daerah ini belum mengalami hujan, malah keadaan bertambah buruk dengan suhu panas yang berisiko mempercepat penurunan paras air kedua-dua sungai yang menjadi sumber LRA di daerah ini.
Justeru itu beliau berharap agar pihak Pengurusan Bencana Negeri dapat mempertimbang untuk sebarang inisiatif bagi mengatasi masalah yang sedang dialami oleh penduduk di daerah ini dan daerah-daerah lain turut mengalami masalah yang sama.
Lawatan kerja itu turut disertai oleh Jurutera Daerah Jabatan Air Keningau Zuraimi Abdullah serta Pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam Urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.