31 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 4, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kemarau, lapan buah kampung kawasan DUN Bingkor terjejas bekalan air paip

Robert (dua dari kanan) bersama rombongan semasa meninjau pengagihan bekalan air bersih di Kampung Liau Ulu.

KENINGAU: Lapan buah kampung di Mukim Bunga Raya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor terjejas bekalan air paip graviti berikutan musim kemarau di negeri ini yang turut melanda daerah ini.

Kampung-kampung yang terlibat adalah Kampung Tonobon Baru, Nahaba, Melidang, Mongitom Ulu, Mongitom Tengah, Mongitom Baru, Bunga Raya dan Liau Ulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, kampung-kampung terjejas bekalan air paip graviti akan menerima bekalan air bersih secara berperingkat.

Katanya, Kampung Liau Ulu antara adalah penerima terawal bantuan bekalan air bersih yang disalurkan dibawah Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Keningau yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Keningau Peter Jonu.

Jelasnya, Kampung Liau Ulu ini terjejas bekalan air paip graviti sejak dua minggu lalu menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan air sungai, namun kualiti air sungai berkenaan dikhuatiri tidak bersih yang boleh memudaratkan kesihatan penduduk.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, kebanyakan kampung di Mukim Bunga Raya ini mendapat bekalan air daripada paip graviti.

“Tetapi pada musim kemarau ini punca air paip graviti kampung-kampung berkenaan kering menyebabkan bekalan air penduduk terputus” katanya kepada media selepas meninjau pengagihan bekalan air terawat di Kampung Liau Ulu pada Sabtu.

Pada masa sama Robert berkata, loji Jabatan Air di sungai Bayayo berhampiran Kampung Bunsit semakin cetek.

“Jika musim kemarau berterusan dalam tempoh dua minggu ini dijangka bekalan air terawat di daerah ini juga turut terjejas” katanya.

Sehubungan dengan ini Robert berharap agar Kerajaan akan mempertimbangkan pelaksanaan pembenihan awan di negeri ini termasuk daerah Keningau bagi membolehkan hujan turun bagi mengatasi kemarau yang masih berterusan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN