Beberapa orang peserta menunjukkan Ikan Tausi yang mereka sediakan dalam kursus tersebut
RANAU: Kemahiran menghasilkan makanan rutin seperti membuat Liniking dan Ikan Tausi mampu menjana pendapatan sampingan keluarga terutama suri rumah, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Mengambil iktibar daripada itu, Kursus Cara Membuat Ikan Tausi dan Liniking telah diadakan di sini baru-baru ini dan dihadiri kira-kira 42 peserta dari beberapa kampung.
Kursus atau demo yang diadakan di Mini Dewan Kg Randagong Baru itu, dihadiri peserta dari pelbagai kampung dalam DUN Paginatan dan beberapa lagi di daerah ini.
Abidin yang juga ADUN N38 Paginatan dan diwakili Pegawai Khas merangkap Setiausaha STAR Bahagian Paginatan, Juis Konsuling berkata ilmu yang diperoleh melalui kursus ini perlu digunakan untuk manfaat semua peserta.

Salah seorang peserta menerima sijil daripada Juis
“Inisiatif ini bertujuan memberi kemahiran kepada penduduk yang berminat menambah pengalaman dan pengetahuan dalam bidang masakan seperti kemahiran membuat ikan tausi dan liniking yang masih jarang dijalankan oleh para peniaga.
“Kami berharap semua peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi agar dapat menambah koleksi menu dalam perniagaan mereka bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang meluangkan masa mengikuti kursus yang bermakna itu, dan berterima kasih kepada penganjur atas inisiatif mereka membawa pengetahuan, kemahiran dan pengalaman ke kawasan itu.
Turut hadir Setiausaha Komuniti Wanita Sabah merangkap Pengerusi Penganjur, Kerry Chee, Ketua Wiranita N38 Paginatan, Winnek Yuni, Pegawai Pembangunan Masyarakat N38 Paginatan, Sainin@Onit Bin Hamid dan lain-lain.