Oleh: SALWAH ARAMAT
RANAU : “Kami bukan Pengemis dan Pemuzik Jalanan”, tetapi sekadar mempromosi, membuat dan menjual alat bunyian tradisi seperti ‘Sundatang’ yang merupakan salah satu produk tempatan yang boleh menjana pendapatan lumayan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.
Demikian hasrat sepasang suami isteri, Yutam Miki 59, dan isterinya Velaria J.Masital 44, dari Kg. Takutan Ranau, mengusahakan alat muzik tradisi sepert ‘Sundatang’ yang mereka jual setiap Rabu dan Sabtu di pekan Ranau dengan harga berpatutan.

Selain membuat ‘Sundatang’ beliau juga mahir membuat dan membunyikan ‘Bungkau’ yang sering dipersembahkan setiap kali ada majlis keramaian di kampung dan disekitarnya.
Menurut Yutam, selain penduduk tempatan yang datang membeli produk yang dijualnya ada juga pelanggan dari dalam dan luar daerah iaitu peniaga kraftangan dari Kundasang, Pekan Nabalu, Kota Kinabalu dan Persatuan Kraftangan dari Sarawak.
Menurutnya lagi, pembuatan dan cara membunyikan peralatan tradisi itu, diharapkan dapat diwarisi oleh generasi muda agar ia kekal sebagai asas kejayaan dan tidak mudah ditelan zaman.
“Kami mengusahakan produk ini tanpa bantuan daripada mana-mana pihak seperti institusi kewangan (Bank) atau badan NGO mahupun para pemimpin”, jelas Yutam yang berpengalaman 5 tahun mengusahakan produknya itu.-T A M A T-



