Anggota Bomba dan Penyelamat dalam usaha mereka untuk memadamkan api di rumah yang terbakar
RANAU: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kebakaran berlaku keatas rumah mereka dekat sini pada malam Rabu.
Ketua BBP Ranau Ridwan Bin Mohd Taib berkata, kejadian berlaku di Kampung Marakau, Ranau kira-kira jam 6.30 petang.
“Panggilan itu diterima menerusi talian MERS999 pada jam 6.33 petang tadi. Sekumpulan enam anggota bomba diketuai Komander Operasi, PBK II Mastin Suli bergegas ke lokasi.
“Setiba di lokasi kejadian yang terletak 4 kilometer dari balai, kami mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal 2 tingkat berkeluasan 60×70 kaki persegi 95% terbakar.
“Pihak Bomba memadam kebakaran menggunakan 1 aliran 200 kaki, 2 pancutan air, sumber air dari tangki jentera. Mujur tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Ridwan Mohd Taib
Menurut Ridwan, operasi dilaporkan terkawal pada jam 7.30 malam dan selepas disahkan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 8.48 malam.
Beliau mengulangi gesaannya kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan kejadian kebakaran terutama ketika musim kemarau sekarang.
“Orang ramai perlu mengutamakan keselamatan terlebih dahulu kerana kebakaran di kawasan lapang mudah menjadi tidak terkawal dan boleh menjadi bencana dengan risiko kehilangan aset berharga, rumah dan juga nyawa.
“Sekiranya terdapat pembakaran terbuka yang tidak dapat dielakkan, ia mesti dipantau dan dikawal, bagi mengelak api merebak ke kawasan berhampiran,” katanya.
Selain itu, Ridwan berkata pada musim panas, peningkatan panggilan haiwan berbisa juga semakin kerap.
Untuk itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan haiwan berbisa yang biasanya mencari tempat redup di kawasan berhampiran rumah.
Menurut Ridwan, sebarang kecemasan Bomba atau perkhidmatan Khas boleh menghubungi BOMBA RANAU di talian 24 jam (088-878779), talian hotline 019-2449348 atau mendail 999.