Pengarah IPGK Kent, Dr. Hamidah Samsudin menyampaikan ucapan dan merasmikan Kelab Wiki Kent
SINGAPURA, 18 Ogos (Bernama) — Kelab Wiki Kent kini telah menjadi rakan strategik Wikimedia Malaysia selepas dirasmikan pelancarannya oleh Pengarah IPG Kampus Kent, Sabah, Dr. Hamidah Samsudin, pada Jumaat di Suntec Convention and Exhibition Centre.
Hamidah berkata tujuan penubuhan kelab tersebut adalah untuk memperkasakan bahasa Kadazandusun, selain untuk memperkenal dan mempromosikan bahasa ini sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Wikipedia ini merupakan salah satu saluran yang sangat cepat untuk menyampaikan maklumat, jadi kami melihat peluang ini amat sesuai untuk diusahakan oleh IPG Kampus Kent, Sabah sebagai Tier 1 peneraju latihan guru Bahasa Kadazandusun di Malaysia kerana mempunyai bakal pendidik yang sudah terlatih dalam Bahasa Kadazandusun.
Dari kiri: Dr. Hamidah, Puan Linah Bagu, Dr. Rosie Jhonny dan Puan Rosmahwati Ebbie
“Insya-Allah dengan adanya pelajar-pelajar kita di IPG ini yang akan menjadi pendidik dalam bahasa ini, ia dapat memberi ruang kepada mereka untuk memastikan generasi pelapis terus memelihara Bahasa Kadazandusun,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia Dody Ismoyo berkata terdapat lebih 60 dialek dan 150 sub dialek bahasa rumpun Dusunik sudah menjadi kamus dalam ensiklopedia percuma terbesar dunia yang dikenali Wikipedia setakat ini.
Antara bahasa rumpun Dusunik yang dikenalpasti adalah dialek Bundu, Liwan, Talantang, Lobu, Tindal, Tinagas dan Tangara.
“Pendekatan digitalisasi ini amat penting terutama mengenai kosa kata bahasa daripada kaum-kaum etnik yang semakin kurang digunakan oleh generasi muda di negara ini.
“Saya harapkan lebih ramai lagi individu, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama membantu Wikimedia Malaysia dalam usaha memartabatkan semua bahasa daripada pelbagai kaum dan etnik di Malaysia supaya tidak pupus,” katanya.
Persidangan Wikimania 2023 edisi ke-18 yang berlangsung pada 16 hingga 19 Ogos, menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan dari 138 negara untuk meraikan ‘Wikimedians’ dan sukarelawan yang menyumbang kepada projek Wikipedia.
Turut hadir dalam majlis Perasmian Kelab Wiki Kent ialah Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun puan Linah Bagu, Encik Mohd. Taufik Rosman, Dr. Rosie Jhonny dan puan Rosmawati Ebbie. -Sumber: Bernama