27.7 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mei 20, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kejohanan Petanque Triple Sabah Open, 26 – 27 Februari 2022 

Ellron (tengah) menerima cenderakenangan daripada
Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Politeknik Kota  Kinabalu Mohd Nasri Hashim. Turut kelihatan Haji Sulaiman (dua dari kanan).

KOTA KINABALU:Kejohanan Petanque Triple Sabah Open 2022 bakal diadakan pada 26 – 27 Februari ini. 

Sebanyak 51 pasukan  akan menyertai kejohanan tersebut dari seluruh Malaysia dan beberapa pasukan lagi daripada negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan Indonesia.

Presiden Persatuan Petanque Negeri Sabah Tuan Haji Sulaiman Bin Awang   berkata, kejohanan tersebut bakal berlangsung di Arena Petanque Politeknik Kota Kinabalu dan akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.

Tuan Haji Sulaiman dalam kunjungan hormatnya juga berkata, kejohanan ini diadakan bagi mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan petanque.

Tambahan pula katanya, Sabah masih kekurangan  wakil pemain petanque yang mampu mengharumkan nama negeri ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin menyokong penuh kejohanan ini dan mengharapkan agar pihak Persatuan Petanque Negeri Sabah mempunyai sasaran dan matlamat agar sukan petanque ini menjadi salah satu penyumbang pingat kepada Sabah terutamanya dalam kejohanan sukan kebangsaan mahupun antarabangsa. 

“Saya juga melihat sukan Petanque ini mempunyai potensi  besar untuk didedahkan kepada masyarakat terutamanya kepada kaum belia, saya yakin dan percaya bahawa dengan adanya pelbagai program serta kursus yang giat dilaksanakan, pastinya akan lebih ramai atlit yang berkualiti akan dilahirkan dalam sukan in” kata Ellron. 

Ini katanya, terbukti dengan dua atlet Sabah  iaitu Mohd Fadrul Ismanyah Bin Mohd Faizal dan Muhammad Hisyam Bin Mad Sapu telah mewakili Malaysia ke Kejohanan Petanque Dunia anjuran International Federation Petanque (FIPJP)  bertempat di Santa Susanna, Barcelona Sepanyol pada 16 sehingga 23 November tahun lepas.

Terdahulu beliau bersama-sama dengan Setiausaha Tetap Kementerian Mansur Asun, Timbalan Setiausaha Tetap 2 Putera Jali dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah Mohd Asneh Mohd Noor menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Petanque Negeri Sabah dan Politeknik Kota Kinabalu.  

Kejohanan Petanque ini merupakan anjuran bersama-sama dengan Politeknik Malaysia Kota Kinabalu, Persatuan Petanque Negeri Sabah (PPNS), Majlis Sukan Negeri Sabah serta Koperasi Sukan Petanque Sabah Berhad.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN