31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KEJOHANAN OLAHRAGA PUPUK BUDAYA BERSUKAN – SANDY

(Dari kiri) Ladius Machi dan Sandy bersama para pemenang olahragawan dan olahragawati

TAMBUNAN: Kejohanan olahraga merupakan arena bagi memupuk budaya bersukan di kalangan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

Di samping bertujuan mencungkil bakat untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat MSS Sabah dan MSS Malaysia, ia juga sebagai platform pembangunan sukan olahraga yang berterusan serta memupuk hubungan dan kerjasama yang erat dalam kalangan guru dan orang awam.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Sandy Kariki @ Gerald berkata, pendedahan melalui kejohanan sukan olahraga perlu berterusan dan dilaksanakan secara sistematik supaya impaknya dapat dikecapi dan seterusnya melahirkan para atlet yang cemerlang.

“Saya yakin dan percaya kejohanan ini mampu melahirkan bakat-bakat besar dalam bidang sukan. Teruskan melakukan aktiviti bersukan sebagai kegiatan seharian agar dapat meningkatkan kesihatan dan kualiti kehidupan kerana akal yang sihat datang daripada tubuh yang cergas. Di samping dapat memupuk nilai-nilai positif, meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan diri ia juga mampu membentuk modal insan bertaraf dunia,” jelas Sandy.

“Syabas kepada Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) dan Majlis Guru Besar (MGB), pengelolaan dan pelaksanaan bersama PPD atas penganjuran ini. Sesungguhnya ia menuntut komitmen padu dan pengorbanan kepada semua pihak bagi memastikan kelancaran sepanjang kejohanan ini berlangsung. Terimakasih juga kepada PIBK atas kesudian menyumbangkan tenaga sebagai pegawai teknikal,” katanya.

“Kepada anak-anak, kemenjadian anda tidak hanya dinilai daripada aspek akademik tetapi meliputi aspek jasmani, rohani, emosi termasuklah aspek sukan. Tidak dapat dinafikan juga kemenangan sememangnya diidam-idamkan dalam setiap pertandingan. Namun yang lebih utama sebenarnya ialah penyertaan dan mementingkan semangat kesukanan yang tinggi. Sekalung ucapan tahniah kepada yang menang dan kepada yang kalah jangan mudah berputus asa. Jadikan kekalahan hari ini sebagai cabaran ke arah kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang,” ujar beliau lagi.

Sandy menyifatkan Kejohanan MSS Daerah Ranau kali ke 49 yang diadakan di Kompleks Sukan Tambunan pada tahun ini telah berjaya menunjukkan pencapaian yang cemerlang apabila beberapa rekod baharu telah dicipta memecahkan rekod lama.

Seramai 7 orang atlet telah menerima anugerah sebagai pemenang olahragawan dan olahragawati mengikut kategori. Mereka ialah Jad Rizalman Washif ( Olahragawan L18  / 2 Emas 100m dan 200m ), pemenang bersama Olahragawati P18, Veeronica Seibit dan Norhafikah Jablien ( 3 Emas 200m, 400m, 400 Lari Berpagar / 3 Emas Lempar Cakera, Rejam Lembing, Lontar Peluru ), Olahragawati P15, Noaleska Kipolos ( 2 Emas Lompat Tinggi, Lompat Jauh ), Olahragawan L15, Erickson Jackson ( 3 Emas Rejam Lembing, Lompat Jauh, Lempar Cakera), Olahragawati P12 Nur Qarirah Farahiyah Rahimin ( 2 Emas 100m, 200m ) dan Olahragawan L12, Irfakruzy Shah Ramdan ( Emas 100m, Perak Lompat Jauh ).

Kesemua pemenang menerima sijil dan piala yang disampaikan oleh Sandy.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN