Perlawanan persahabatan..SK. Paus (berdiri) vs SK. Nalapak (mencangkung) bersama David (baju kuning) dan Ronny (pertama dari kiri)
RANAU: Kejohanan Bola Baling Bawah 12 Peringkat Zon Timur yang dijadualkan pada 20-21 Julai ini akan berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan Nalapak.
Menurut Pengurus Teknik Bola Baling SK. Nalapak, Ronny Madan, pihaknya telah menyiapkan dua gelanggang bagi memudahkan perlawanan untuk kategori lelaki dan perempuan.
Ronny memaklumkan Kejohanan Bola Baling Bawah 12 Peringkat Zon Timur dan daerah pada tahun ini dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan Kananapon yang dijangka akan diadakan di Extreme Futsal Ranau pada 26 dan 27 Julai ini.
Sepanjang perlawanan pada minggu depan, ahli PIBG yang berminat untuk mengadakan jualan adalah dialu-alukan untuk datang. Jumlah tapak berukuran sepuluh kali sepuluh kaki persegi adalah terhad. Kelengkapan berjual seperti payung, meja atau kerusi hendaklah disediakan sendiri oleh penyewa. Kepada yang berminat boleh menghubungi urusetia di talian (0 14-591 9002/Hanisah) dan (0 12-769 6276/Zulfazly).
Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Bola Baling Sekolah Kebangsaan Paus, David Dominis ketika mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan SK. Nalapak Jumaat lalu melahirkan rasa puas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh pihak tuan rumah.
“Kami datang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan SK. Nalapak pada pagi ini untuk membiasakan para pemain saya bermain di padang ini. Bagi saya padang ini sangat sesuai kerana di samping mempunyai permukaan yang rata dan tidak terlalu keras, rumputnya juga empuk. Bukan sahaja sesuai untuk perlawanan bola baling bahkan sangat sesuai untuk vanue kejohanan bola sepak pada masa akan datang” jelasnya yang baru juga menjuarai bola sepak bawah 12 baru-baru ini.
Dalam perlawanan persahabatan tersebut, pasukan SK. Paus berjaya menumpaskan pasukan SK. Nalapak dengan jaringan 10-1. Gol pasukan SK. Paus djaringkan oleh Elyisabet Micheal (5 gol), Jotianah Maymis (4 gol) dan Rika Jinus (1 gol) sementara gol tunggal pasukan SK. Nalapak dijaringkan oleh Febby Dinaras.