25.8 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Keharmonian dan perpaduan di Sabah perlu dikekalkan: Fredian

Fredian (keempat dari kiri) mengiringi Haji Ruslan (keempat dari kanan) dan rombongan menyampai ucapan Gog Xi Fa Cai sambil mengagihkan kelandar tahun 2025 kepada salah seorang peniaga.

TENOM: Keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini yang telah sekian lama wujud perlu dikekalkan.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS Pusat Datuk Fredian Gan berkata, jangan jadikan perbezaan kepercayaan sebagai penghalang untuk bersatu mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang telah sekian lama dimiliki oleh masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Kita mestilah bersatu dalam segala aspek demi kesejahteraan dan pembangunan negeri ini” katanya selepas jelajah sempena sambutan Tahun Baru Cina 2025 Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Melalap di pekan Tenom pada Ahad lepas.

Fredian berkata, untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang sedia ada, semangat kekitaan dan persaudaraan dikalangan masyarakat perlu dimiliki oleh setiap individu tanpa mengira kepercayaan dan fahaman politik.

Menyentuh sambutan Tahun Baru Cina Fredian berkata, seperti juga perayaan-perayaan yang lain sememangnya sudah menjadi rutin masyarakat di negeri ini yang berbilang bangsa, suku kaum, peringkat umur dan agama menghormatinya.

“Ini adalah menjadi kebiasaan untuk kita meraihkan bersama-sama kepelbagaian yang wujud di negeri ini dan dalam masa yang sama kita juga dapat mengukuhkan hubungan dan semangat kekitaan antara satu dengan yang lain” katanya.

Mengenai jelajah sempena Tahun Baru Cina yang diadakan di sekitar pekan Tenom Fredian berkata, ia bertujuan untuk menyantuni masyarakat Tiong Hua khususnya para peniaga di premis-premis pekan ini.

Katanya, selain premis-premis di pekan, jelajah tersebut turut menyantuni para penjaja yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan di pasar dan tamu mingguan di sini.

Fredian yang menaja jelajah tersebut memberitahu, sempena jelajah ini, pimpinan tertinggi PBS diwakili oleh Naib Presiden Datuk Haji Ruslan Muharam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Naib Presiden yang juga Pegawai Khas Ketua Menteri Sabah Datuk Arthur Sen, Naib Presiden Tuan Haji Mursid Rais dan dan beberapa orang Ahli Majlis Tertinggi dan Exco Pemuda dan Wanita Pusat .

Turut sama pada jelajah ini, Ahli Majlis Penasihat PBS Datuk Seri Panglima Radin Malleh serta pemimpin AJK Bahagian, AJK Pemuda dan Wanita serta pemimpin dari cawangan.

Dianggarkan 100 orang para pemimpin PBS Bahagian menyertai aktiviti tahunan PBS ini.

Fredian berkata semasa jelajah ini selain daripada menyampaikan ucapan Gong Xi Fa Cai kepada para peniaga, rombongan telah mengagih-agihkan kalendar parti untuk tahun 2025 sambil bermesra dengan para peniaga di setiap premis.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN