KEDAI NOMBOR RAMALAN, DOBI, KEDAI GUNTING, REFLEKSOLOGI DIBENARKAN DI BAWAH PKPB

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Operasi kedai nombor ramalan yang dilesenkan di bawah Kementerian Kewangan adalah dibenarkan berdasarkan waktu operasi yang ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Hari Cabutan dibuka bermula jam 8.00 pagi hingga 7.00 malam dan Hari Tanpa Cabutan (8.00 pagi hingga 6.00 petang).

“Operasi mesin slot yang dilesenkan di bawah Kementerian Kewangan juga dibenarkan bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam,” katanya.

Masidi berkata, operasi lain-lain perniagaan yang dibenarkan beroperasi bermula dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam ialah stesen minyak termasuk kedai serbaneka di stesen minyak dan kedai dobi dan pelanggan haruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Masidi berkata, kedai gunting rambut, salun, pusat penjagaan muka, perkhidmatan spa, refleksologi, urut dan wellness dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam.

“Pengusaha atau pemilik perlu mengikuti SOP seperti, memakai pelitup muka dan pelindung muka, memakai apron dan ia perlu ditukar untuk setiap pelanggan baharu, memakai sarung tangan dan gunting serta sikat dibersihkan menggunakan air panas (bagi kedai gunting rambut dan salun).

“Pusat cuci kenderaan juga dibenar beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam dengan memastikan pematuhan SOP sedia ada,” katanya.