RANAU: Susulan keputusan Kerajaan Negeri Sabah untuk membenarkan pergerakan rentas daerah mengikut zon bermula1 Oktober, dijangkan daerah Ranau khususnya kawasan Kundasang akan menjadi destinasi tumpuan orang ramai untuk dikunjungi.
Menjangkakan situasi luar biasa akan berlaku terutama sekali bilangan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Ranau, menasihatkan ramai agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha melandaikan jangkitan wabak Covid-19.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin, berkata polis bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah akan terus melakukan pemantauan secara konsisten bagi memastikan orang ramai sentiasa mematuhi SOP apabila keluar melancong atau mengunjungi pusat riadah termasuk tempat-tempat yang menjadi tumpuan di daerah ini.
Beliau juga mengingatkan, mereka yang datang berkunjung ke mana-mana lokasi tumpuan di sini atau keluar untuk melancong agar memastikan sudah langkap menerima suntikan vaksin sebagai langkah mencegah dan mengurangkan penularan wabak Covid-19. Ini kerana katanya, di daerah Ranau masih terdapat kes positif.
“Orang ramai yang membawa kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah juga diingatkan agar menjaga atau mengawasi pergerakan mereka selain mengelakan bersesak-sesak. Patuhi jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
“Polis tidak akan berkompromi atau teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun jika ada pelanggaran SOP,” tegasnya ketika dihubungi wartawan Borneo Daily Bulletin, hari ini.
Sementara itu, Simiun turut menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, berhemah serta mematuhi peraturan ketika berada di atas jalan raya.
Menurut beliau, sudah pasti akan berlaku kesesakan lalulintas di kawasan Kundasang dan Pekan Ranau disebabkan pertambahan jumlah kenderaan terutama cuti hujung minggu.